Russia tunggu ‘lampu hijau’ salur RM4 bilion kepada Iran

WorldBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 6:27 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Russia tunggu ‘lampu hijau’ salur RM4 bilion kepada Iran

TEHERAN: Russia sudah memuktamadkan persiapan untuk menyalurkan pinjaman AS$1 bilion (RM4 bilion) kepada Iran, namun pemindahan dana itu masih tertangguh berikutan perbezaan pandangan dalam kerajaan Teheran.

Agensi berita Fars melaporkan, dana itu sedia dipindahkan sebaik sahaja Teheran menyerahkan butiran akaun bank yang diperlukan kepada Moscow.

Menurut media Iran itu, proses pembayaran sudah dimuktamadkan, tetapi perselisihan antara badan kerajaan Iran mengenai penggunaan pinjaman tersebut menyebabkan proses pemindahan tertangguh.

Pinjaman berkenaan pertama kali dilaporkan pada Jun dan merupakan ansuran pertama daripada pinjaman Russia bernilai AS$20 bilion (RM81.7 bilion) yang dirancang untuk Iran.

Fars berkata, Pertubuhan Perancangan dan Belanjawan Iran mahu dana tersebut digunakan untuk mengimport kenderaan.

Bagaimanapun, Kementerian Minyak mahu dana itu digunakan bagi membeli peralatan industri minyak, manakala Kementerian Pertanian mencadangkan ia diperuntukkan untuk mengimport barangan keperluan.

Fars melaporkan kerajaan Iran masih belum membuat keputusan muktamad mengenai penggunaan dana itu dan belum menyerahkan butiran akaun yang diperlukan untuk membolehkan pemindahan dibuat.

Iran dan Russia meningkatkan hubungan ekonomi serta kewangan, termasuk usaha memperluas penggunaan mata wang masing-masing dalam perdagangan dua hala bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sistem kewangan yang dikawal Barat.

Jun lalu, Iran mengumumkan rancangan untuk mewujudkan platform dagangan mata wang rubel sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerjasama perbankan dan kewangan dengan Russia.

Seorang anggota Parlimen Iran sebelum ini mendedahkan Moscow dijangka menyediakan pinjaman bernilai AS$20 bilion (RM84 bilion) kepada Teheran dalam mata wang rubel dengan kadar faedah tahunan enam peratus.

The post Russia tunggu ‘lampu hijau’ salur RM4 bilion kepada Iran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved