SHAH ALAM – Gerakan Guaman Rakyat (GEGAR) mengemukakan enam cadangan undang-undang baharu yang konkrit dan boleh dikuatkuasakan sebelum Rang Undang-Undang (RUU) pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan.
GEGAR dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyarankan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat dan Kementerian Undang-Undang agar meneliti dan memasukkan cadangan berkenaan ke dalam draf akhir RUU sebelum bacaan kali ketiga.
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan kini menyasarkan untuk memuktamadkan RUU itu sebelum mesyuarat terakhir pada 18 Mei ini.
“Masa semakin singkat dan cadangan ini mesti dimasukkan sekarang. Seluruh Ahli Parlimen diingatkan bahawa mereka dipilih oleh rakyat dan undian ini menyentuh hak asasi rakyat, bukan kepentingan parti.
“Gunakan hati nurani, bukan sekadar arahan whip. GEGAR sedia bekerjasama secara teknikal dengan Jawatankuasa Pilihan Khas, Ahli Parlimen atau mana-mana pihak yang memerlukan input perundangan bagi memastikan cadangan ini dilaksanakan dengan betul,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Enam cadangan undang-undang yang dikemukakan GEGAR ialah Akta Suruhanjaya Pendakwaan Bebas, pindaan kepada Kanun Tatacara Jenayah bagi memberi hak semakan kepada mangsa, Akta Polisi Pendakwaan Awam, pindaan Perlembagaan bagi menetapkan penggal tetap Pendakwa Raya, penubuhan Jawatankuasa Pilihan Tetap Parlimen bagi pengawasan pendakwaan dan Akta Ketelusan Keputusan Pendakwaan.
Terdahulu, dalam kenyataan sama, GEGAR menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Bagaimanapun GEGAR menegaskan bahawa pemisahan yang hanya bersifat struktural tanpa mekanisme pengawasan dan akauntabiliti yang jelas adalah kosong dan tidak bermakna.
"Tuntutan untuk memisahkan peranan berkenaan bukan perkara baharu apabila Transparency International Malaysia mula mendesak pelaksanaannya sejak 2016, diikuti Malaysian Bar pada 2022.
“Kini, selepas hampir sedekad, kerajaan baharu mengambil tindakan, namun rakyat sudah lama menunggu. Jangan biarkan ia menjadi sekadar separuh langkah,” katanya.


