KUALA LUMPUR - Pembangkang menyelar kenyataan beberapa pihak yang menyalahkan blok itu susulan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 untuk mengehadkan tempoh maksimum 10 tahun gagal diluluskan di Dewan Rakyat.
Ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihak yang sepatutnya dipersalahkan ialah ahli Parlimen kerajaan yang menolak RUU tersebut, bukan mengalihkan kesalahan kepada pembangkang.
“Kalau tengok dari ucapan ahli Parlimen pembangkang semuanya menyatakan kami bersetuju tetapi dengan syarat.
“Kalau syarat itu tidak diambil kira, maka bermakna bukan kita menolak tapi kita berkecuali.
“Jadi janganlah keluarkan kenyataan sebegitu. Ini saya hairan ada dalam kalangan ahli Jemaah Menteri yang keluarkan kenyataan pembangkang tidak mengundi,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.
Dewan Rakyat pada Isnin gagal meluluskan RUU tersebut susulan tidak memperoleh sokongan dua pertiga ahli Parlimen.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, hanya 146 ahli Parlimen menyokong manakala 44 tidak mengundi dan 32 ahli Parlimen tidak hadir.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kerajaan seharusnya membuat persiapan rapi termasuk perjumpaan dengan ahli Parlimen yang menyokong apabila sesuatu RUU ingin diluluskan bagi mengelak insiden sama berulang.
Jelasnya, perbincangan atau perjumpaan itu penting bagi membolehkan semua 154 ahli Parlimen yang menyokong kerajaan dapat hadirkan diri.
“Yang jadi masalahnya ahli Parlimen kerajaan tidak mengundi. Itu yang patut dipersalahkan kerana kerajaan mempunyai tanggungjawab mempertahankan usul mereka.
“Bukan hendak menyalahkan pembangkang yang berkecuali,” katanya.
