SHAH ALAM – Kegagalan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 berhubung had tempoh maksimum 10 tahun jawatan Perdana Menteri menjadi pengajaran buat kerajaan agar lebih bersedia dan bersatu pada masa hadapan.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, ia bagi memastikan institusi Perdana Menteri tidak lagi dilihat sebagai kerusi tanpa had, sebaliknya sebagai satu amanah yang mempunyai tempoh tertentu selaras dengan prinsip tadbir urus baik.
“Kami seramai 40 orang ahli Parlimen dari DAP telah menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya dengan menyokong sepenuhnya.
“Demokrasi adalah satu proses maraton, bukan pecutan jangka pendek. Kegagalan hari ini adalah pengajaran untuk kita lebih bersedia dan lebih bersatu pada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dewan Rakyat pada Isnin tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 untuk mengehadkan tempoh maksimum 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga ahli Parlimen apabila hanya serjumlah 146 ahli Parlimen menyokong manakala 44 ahli Parlimen tidak mengundi dan 32 ahli Parlimen tidak hadir.
Ujar Young Syefura, meskipun RUU berkenaan tidak diluluskan namun, semangat reformasi tidak akan terhenti.
“Kami di blok kerajaan, khususnya generasi muda dalam politik akan terus konsisten memperjuangkan agenda ini.
“Kita tidak boleh patah semangat hanya kerana satu halangan teknikal walaupun ia sangat mengecewakan,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh menegaskan bahawa kesemua ahli Parlimen parti itu turut hadir pada hari pengundian RUU berkenaan.
Menurut beliau, PKR bersama Pakatan Harapan (PH) kekal komited dalam menjayakan agenda reformasi yang diperjuangkan.
“PKR dan PH komited. 100 peratus ahli Parlimen PKR hadir. Ini menunjukkan kesungguhan PH dalam melaksanakan reformasi,’ ujarnya.
