RUU Kebebasan Maklumat diteliti semula Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 1:50 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RUU Kebebasan Maklumat diteliti semula Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (RUU FOI) 2026 akan diteliti semula menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) dalam mesyuarat pertamanya esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikan olehnya dan akan disertai ahli JKPK secara dwipartisan bagi membincangkan terma rujukan serta skop RUU itu selepas ia mendapat bantahan pelbagai pihak.

Sebelum ini, pelbagai pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan profesional mendakwa RUU FOI itu gagal memenuhi prinsip asas kebebasan maklumat, malah berpotensi mengukuhkan budaya kerahsiaan dalam pentadbiran kerajaan

.“Kita berharap dapat menyelesaikan siri mesyuarat jawatankuasa itu bagi memuktamadkan cadangan penambahbaikan sebelum sidang Parlimen akan datang,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di sini, hari ini.

Mengulas sama ada terdapat pindaan utama terhadap RUU itu, Azalina berkata, antara perkara yang akan diberi perhatian ialah skop pelaksanaannya sebagaimana pandangan pelbagai NGO dan kumpulan profesional itu.

“Jika dilihat kepada pandangan yang dikemukakan oleh NGO dan beberapa kumpulan profesional, mereka berpendapat RUU FOI sepatutnya mempunyai skop yang lebih luas. Jadi, kita akan menilai perkara itu dalam mesyuarat esok,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, kerajaan mengemukakan usul untuk merujuk RUU FOI 2026 kepada JKPK, selepas mengambil maklum pandangan pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan terhadap beberapa aspek draf berkenaan.

Ia selepas sekumpulan NGO termasuk Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Article 19 Malaysia dan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menggesa kerajaan menarik balik RUU berkenaan yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan bersama, kumpulan itu menyifatkan RUU tersebut sebagai “pengkhianatan terhadap hak rakyat untuk tahu” kerana mendakwa ia gagal memenuhi prinsip asas kebebasan maklumat, malah berpotensi mengukuhkan budaya kerahsiaan dalam pentadbiran kerajaan.

Mereka berkata ,meskipun usaha memperkenalkan undang-undang kebebasan maklumat di peringkat persekutuan dialu-alukan, versi RUU yang dibentangkan bukan reformasi seperti dijanjikan kepada rakyat. – KOSMO! ONLINE

The post RUU Kebebasan Maklumat diteliti semula Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved