RUU Kredit Pengguna perkenal kawal selia BNPL lindungi pengguna - Amir Hamzah

LocalPolitics
4 Aug 2025 • 11:41 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RUU Kredit Pengguna perkenal kawal selia BNPL lindungi pengguna - Amir Hamzah

image is not available

04/08/2025 - 11:41

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kerajaan melalui Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) memperkenalkan rangka kerja pengawalseliaan menyeluruh dan bersepadu bagi industri pemberi kredit bukan bank, termasuk skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later, BNPL), yang kian popular dalam kalangan pengguna muda.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dibawah Akta Kredit Pengguna 2025 (AKP) yang akan dilaksanakan kelak, semua penyedia BNPL diwajibkan untuk mematuhi prinsip pemberian kredit yang bertanggungjawab.

Beliau berkata, ia termasuk keperluan menjalankan penilaian kemampuan berhutang sebelum sebarang pembiayaan ditawarkan kepada pengguna, menetapkan terma urus niaga yang adil, serta mengenakan caj yang telus dan tidak membebankan.

"Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan sebagai badan penyelia dan penguat kuasa utama terhadap sektor BNPL, mereka diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana penyedia BNPL yang tidak mematuhi peraturan, termasuk tindakan pentadbiran, sivil, jenayah, atau kompaun bergantung pada tahap pelanggaran.

“Pendekatan pengawalseliaan yang diambil memberi keutamaan kepada perlindungan pengguna, dengan fokus kepada ketelusan, layanan adil dan pembangunan pasaran kredit yang bertanggungjawab,” katanya menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) semasa sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah berkata, bagi memperoleh lesen di bawah AKP, syarikat BNPL perlu memenuhi keperluan tadbir urus yang ketat, termasuk kelayakan ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan, serta mematuhi syarat kewangan minimum.

Selain kawal selia operasi, beliau berkata, kerajaan turut menekankan kepentingan literasi kewangan kerana ia penting bagi memastikan rakyat memahami risiko penggunaan BNPL secara berlebihan, sekali gus mengelakkan beban hutang yang tidak terkawal.

Sementara itu, katanya, pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (Consumer Credit Oversight Board Task Force, CCOBTF) sedang mengkaji had kadar faedah yang boleh dikenakan oleh penyedia BNPL.

Kajian itu bertujuan menetapkan standard pelakuan yang seimbang dan bersesuaian dengan landskap industri.

"Ketika ini, kadar faedah yang dikenakan oleh penyedia BNPL adalah antara 15% hingga 30% setahun, walaupun ada yang menetapkan caj tetap 1.5% sebulan atau tidak mengenakan sebarang faedah langsung.

"SKP memerlukan maklumat menyeluruh dan terperinci serta penilaian yang sewajarnya berkenaan dengan keberhutangan pengguna kredit, dan juga kos operasi pemberi kredit yang dikawal selia di bawah RUUKP," katanya.- DagangNews.com

standard