Pasukan pemantau kredit kaji had kadar faedah penyedia BNPL kepada pengguna - Amir Hamzah

04/08/2025 - 11:41
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 4 Ogos - Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (Consumer Credit Oversight Board Task Force, CCOBTF) giat memantau perkembangan semasa sektor-sektor industri kredit yang bakal dikawal selia Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP), termasuk skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, had kadar faedah yang dikenakan oleh penyedia BNPL kepada pengguna kredit adalah antara perkara utama yang sedang dalam kajian.
Beliau berkata, dalam hal ini, SKP akan mengambil pendekatan pengawalseliaan melalui standard pelakuan yang akan dirangka secara seimbang dan berkadaran.
"Pada masa ini, terdapat beberapa amalan oleh penyedia BNPL berkaitan dengan caj kadar faedah. Walaupun kebanyakannya mengenakan caj sebanyak 1.5% sebulan atau 18% setahun, secara
amnya kadar faedah yang dikenakan oleh pemain industri BNPL adalah di antara 15% hingga 30% setahun.
"Sementara itu, terdapat juga penyedia BNPL yang tidak mengenakan sebarang caj kadar faedah," katanya ketika menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) semasa sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Amir Hamzah berkata, kerajaan melalui Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) turut memperkenalkan rangka kerja pengawalseliaan menyeluruh dan bersepadu bagi industri pemberi kredit bukan bank, termasuk kim BNPL.
Beliau berkata, dibawah Akta Kredit Pengguna 2025 (AKP) yang akan dilaksanakan kelak, semua penyedia BNPL diwajibkan untuk mematuhi prinsip pemberian kredit yang bertanggungjawab.
Beliau berkata, ia termasuk keperluan menjalankan penilaian kemampuan berhutang (affordability assessment) sebelum sebarang pembiayaan ditawarkan kepada pengguna, menetapkan terma urus niaga yang adil, serta mengenakan caj yang telus dan tidak membebankan.
"Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan sebagai badan penyelia dan penguat kuasa utama terhadap sektor BNPL, mereka diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana penyedia BNPL yang tidak mematuhi peraturan, termasuk tindakan pentadbiran, sivil, jenayah, atau kompaun bergantung pada tahap pelanggaran.
“Pendekatan pengawalseliaan yang diambil memberi keutamaan kepada perlindungan pengguna, dengan fokus kepada ketelusan, layanan adil dan pembangunan pasaran kredit yang bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata, bagi memperoleh lesen di bawah AKP, syarikat BNPL perlu memenuhi keperluan tadbir urus yang ketat, termasuk kelayakan ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan, serta mematuhi syarat kewangan minimum.
Selain kawal selia operasi, beliau berkata, kerajaan turut menekankan kepentingan literasi kewangan kerana ia penting bagi memastikan rakyat memahami risiko penggunaan BNPL secara berlebihan, sekali gus mengelakkan beban hutang yang tidak terkawal.- DagangNews.com
standard



