RUU Pekerja Gig 2025: Profima harap tiada pihak cuba sabotaj

LocalPolitics
24 Aug 2025 • 2:28 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) Khalil Salleh, berharap tiada pihak berkepentingan, termasuk penyedia platform atau pembangkang akan menggagalkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.

Beliau berkata, bacaan pertama RUU tersebut oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dilihat sebagai penyelesaian kepada isu dan cabaran yang membelenggu pekerja kreatif selama lebih dua dekad, termasuk ketiadaan jaminan pendapatan, perlindungan sosial, dan keselamatan pekerjaan.

“Jangan sesekali berlaku pengkianatan yang boleh menjejaskan atau menggagalkan kelulusan RUU Pekerja Gig apabila ia dibentangkan di Parlimen, samada oleh penyedia platform, pihak pembangkang mahupun mana-mana pihak lain yang berkepentingan.

"Kami di sektor perfileman dan seni telah lama menangung penderitaan tanpa sebarang
pembelaan undang-undang yang kukuh. Justeru, kami menaruh harapan besar agar Akta
Pekerja Gig ini akhirnya menjadi realiti sebagai pelindung hak, kebajikan dan masa depan
kami," katanya yang menyambut baik bacaan pertama RUU tersebut oleh Steven Sim.

Khalil dalam satu kenyataan berkata, sektor perfileman dan seni telah lama menderita tanpa pembelaan undang-undang yang kukuh. Oleh itu, mereka menaruh harapan besar agar Akta Pekerja Gig ini menjadi realiti sebagai pelindung hak dan masa depan mereka.

Tegasnya, isu ini bukan sahaja melibatkan sektor seni, tetapi juga 1.2 juta pekerja gig di pelbagai sektor lain di seluruh negara.

Menurutnya, Profima terlibat secara aktif bersama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) serta pihak berkepentingan sejak awal proses libat urus dan turut berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, atas sokongan berterusan dan peranan beliau dalam mencetuskan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (Segim).

Ucapan penghargaan juga ditujukan kepada Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas komitmen mereka untuk menyelesaikan isu yang telah lama dihadapi oleh pekerja gig negara, termasuk sektor perfileman dan kreatif.

Profima yakin pelaksanaan undang-undang ini akan mewujudkan ekosistem pekerjaan kreatif yang lebih adil dan mampan, sekali gus memperkukuh kedudukan industri perfileman Malaysia di peringkat antarabangsa. - 24 Ogos, 2025