RUU statistik 2026 lulus, era baharu pengurusan data negara bermula

LocalPolitics
17 Jul 2026 • 12:48 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

RUU statistik 2026 lulus, era baharu pengurusan data negara bermula

PUTRAJAYA – Malaysia melakar satu lagi pembaharuan penting dalam sistem pentadbiran negara apabila Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 diluluskan di Dewan Rakyat, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pengurusan statistik rasmi negara.

Kelulusan RUU itu menyaksikan Akta Perangkaan 1965 (Akta 415), yang menjadi tunjang perundangan statistik negara selama lebih enam dekad, bakal digantikan dengan kerangka undang-undang lebih moden bagi memenuhi keperluan pengurusan data semasa.

Ketua Perangkawan Malaysia, Siti Asiah Ahmad berkata, kelulusan RUU tersebut merupakan detik bersejarah yang akan memperkukuh Sistem Statistik Negara melalui tadbir urus lebih tersusun, penggunaan data pentadbiran secara optimum serta pengukuhan peranan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai penyelaras statistik rasmi negara.

Menurutnya, RUU itu juga terus menjamin kerahsiaan data dan maklumat responden, di samping meningkatkan keyakinan terhadap penghasilan statistik rasmi yang berkualiti dan boleh dipercayai.

“RUU Statistik 2026 akan memperkukuh tadbir urus statistik negara melalui penyelarasan yang lebih berkesan, penggunaan data pentadbiran secara optimum, pengukuhan peranan Jabatan Statistik Malaysia sebagai penyelaras statistik rasmi negara serta terus menjamin kerahsiaan data dan maklumat responden,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Beliau berkata, pembaharuan itu diharap menjadi pemangkin kepada penghasilan statistik rasmi yang lebih berkualiti, relevan dan diyakini bagi menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti serta memperkukuh pembangunan negara.

Dalam masa sama, Siti Asiah merakamkan penghargaan kepada Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Mohd Nasrullah Mohd Nasir; Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Indera Mohd Sahar Abdullah; kepimpinan Kementerian Ekonomi, Jabatan Peguam Negara (AGC), Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU), mantan Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, barisan Jawatankuasa RUU Statistik DOSM serta semua pihak yang terlibat menjayakan pembaharuan berkenaan.

Beliau turut menyifatkan kejayaan meluluskan RUU itu sebagai hasil kerjasama pelbagai pihak yang memberi komitmen tinggi dalam merealisasikan transformasi sistem statistik negara demi kepentingan rakyat dan pembangunan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved