Kian Terdedah Dengan Tindakan Undang-undang, Asyraf Wajdi Cadang Gubal Akta Perlindungan Guru

LocalPolitics
16 Jul 2026 • 4:31 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

akta perlindungan guru

Pengerusi Masjlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpendapat sudah tiba masanya Akta Perlindungan Guru digubal bagi melindungi golongan pendidik di negara ini.

Beliau berkata, guru kini semakin terdedah kepada risiko disaman atau dikenakan tindakan undang-undang ketika melaksanakan tugas, khususnya dalam mengawal disiplin serta memastikan keselamatan pelajar di sekolah.

Menurutnya, perlindungan undang-undang itu amat penting terutama apabila guru perlu membuat keputusan segera dalam situasi melibatkan disiplin, keselamatan atau kecemasan.

Katanya, guru yang bertindak berdasarkan undang-undang serta garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak seharusnya berdepan tindakan mahkamah hanya kerana terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mereka.

“Perlindungan ini bukan untuk memberi kekebalan mutlak, sebaliknya memastikan mereka yang menjalankan tugas dengan suci hati tidak dibiarkan berdepan risiko bersendirian,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dalam masa sama, Asyraf Wajdi berpandangan akta tersebut juga mampu mengurangkan kecenderungan membawa setiap pertikaian antara guru, sekolah dan ibu bapa terus ke mahkamah.

Beliau mencadangkan supaya diwujudkan mekanisme penyelesaian awal seperti siasatan dalaman atau proses mediasi sebelum sebarang tindakan undang-undang dimulakan.

“Tidak semua pertikaian perlu berakhir dengan saman. Ada isu yang boleh diselesaikan secara adil dan teratur melalui proses siasatan atau perbincangan terlebih dahulu.

“Pendekatan itu dapat mengelakkan guru daripada menanggung tekanan emosi serta kewangan yang berpanjangan,” katanya.

Artikel berkaitan: “‘Teach You A Lesson’ versi MRSM” – Dr Asyraf Wajdi Sahkan Tiada Ruang Untuk Anak Emas & ‘Cable’!

Artikel berkaitan: Guru Disaman RM15K Gara-gara Denda Anak Murid Tak Nak Solat Di Indonesia

Selain itu, turut dicadangkan supaya akta berkenaan memperuntukkan bantuan guaman atau indemniti kerajaan kepada guru yang berdepan tindakan undang-undang ketika menjalankan tugas rasmi.

Jelasnya, terdapat kes di mana guru terpaksa menggunakan wang sendiri untuk mendapatkan khidmat peguam walaupun tindakan yang diambil adalah dalam ruang lingkup tanggungjawab mereka sebagai pendidik.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata kebimbangan berlebihan terhadap risiko disaman boleh menyebabkan guru menjadi terlalu berhati-hati sehingga enggan mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya.

“Guru perlu mempunyai keyakinan untuk bertindak secara tegas tetapi adil tanpa sentiasa dihantui kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang.

“Apabila mereka dilindungi secara munasabah, tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada pendidikan dan kebajikan murid,” katanya.

Sumber: Facebook

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved