
Hujung minggu ini menjadi antara yang paling dinantikan oleh peminat automotif dan permotoran apabila dua acara ikonik negara berlangsung hampir serentak. RXZ Members 8.0 berlangsung pada 31 Julai hingga 1 Ogos di Litar Drag Antarabangsa Terengganu, Gong Badak, manakala Art of Speed (AOS) Ke-15 berlangsung pada 1 hingga 2 Ogos di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang.
RXZ Members terus dikenali sebagai antara perhimpunan Yamaha RX-Z terbesar di Malaysia, menghimpunkan ribuan pemilik dan peminat motosikal legenda itu dari seluruh negara. Selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti, acara ini turut menjadi platform mempamerkan pelbagai modifikasi serta mengekalkan legasi Yamaha RX-Z yang masih mempunyai tempat istimewa dalam dunia permotoran tempatan.
Dalam masa sama, Art of Speed pula terus menjadi festival budaya kustom terbesar di Malaysia yang menghimpunkan pembina motosikal dan kereta, artis, penggiat industri kreatif serta peminat budaya automotif di bawah satu bumbung. Selepas memasuki edisi ke-15, Art of Speed bukan sahaja menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, malah berjaya membawa hasil karya anak tempatan ke pentas antarabangsa.










Menariknya, apabila kedua-dua acara ini berlangsung pada hujung minggu yang sama tahun ini, ia mengimbau kembali satu detik bersejarah pada Art of Speed Malaysia 2024 apabila motosikal RXZ Twin Boss V2 hasil binaan FNG Works dinobatkan sebagai pemenang Art of Speed Invitational Bike Build Off menerusi Anugerah Pilihan Juri dan Anugerah Pilihan Awam.



Kemenangan tersebut membolehkan motosikal berasaskan Yamaha RX-Z itu mewakili Malaysia ke Yokohama Hot Rod Custom Show Ke-32 di Jepun menerusi projek “RXZ Balik Kampung: Dari Ipoh ke Yokohama”, sekali gus membuktikan bahawa kreativiti pembina tempatan mampu berdiri sebaris dengan karya kustom bertaraf dunia.
Walaupun RXZ Members dan Art of Speed mempunyai identiti yang berbeza, kedua-duanya berkongsi matlamat yang sama iaitu menyatukan komuniti, meraikan minat terhadap dunia permotoran serta mengangkat nama Malaysia menerusi budaya automotif dan kustom.
Bersempena penganjuran kedua-dua acara ini, TW Media mengucapkan Selamat Hari Raya RXZ Members 8.0 dan Selamat Hari Raya Kustom Art of Speed Ke-15 kepada semua pengunjung, peserta, pempamer serta komuniti automotif di seluruh negara.
Kepada seluruh warga RXZ yang akan menuju ke Gong Badak dan para pengunjung Art of Speed di MAEPS, yang santai pasti sampai. Utamakan keselamatan, patuhi peraturan jalan raya, pastikan kenderaan berada dalam keadaan terbaik dan jadikan perjalanan pergi serta pulang sebagai kenangan yang indah.
Marilah bersama-sama menyokong aspirasi #ZeroKemalanganMaut agar hujung minggu automotif terbesar negara ini diraikan dengan penuh kemeriahan, selamat dan penuh semangat kekeluargaan.
The post RXZ Members 8.0 & Art of Speed Ke-15 Meriahkan Hujung Minggu Automotif Malaysia appeared first on TW Media.





