RXZ Members 8.0: Tiada ‘Pukat’, Tapi Polis Beri Amaran Jangan Ambil Mudah

LocalCars
16 Jul 2026 • 4:00 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada sekatan jalan raya akan diadakan sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 yang berlangsung pada 31 Julai hingga 1 Ogos ini.

Walau bagaimanapun, memetik laporan daripada Utusan Malaysia, polis telah memberi amaran bahawa tiada sebarang pengecualian akan diberikan kepada peserta yang didapati melanggar undang-undang jalan raya sepanjang himpunan yang dijangka menghimpunkan antara 100,000 hingga 120,000 penunggang Yamaha RXZ dari seluruh negara.

619 pegawai & anggota polis di lokasi

Bagi memastikan kelancaran program, seramai 619 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di lokasi penganjuran serta laluan utama di seluruh Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin menyatakan, walaupun tiada sekatan jalan raya dilaksanakan, pemantauan dan penguatkuasaan tetap dipertingkat melalui rondaan serta penempatan anggota di lokasi strategik.

“Tiada sekatan jalan raya tetapi itu bukan bermakna ada pengecualian. Jika melakukan kesalahan, kita ambil tindakan mengikut undang-undang.
“Strategi penguatkuasaan tetap dilaksanakan, cuma kaedah operasi adalah strategi polis dan tidak boleh didedahkan,” katanya dalam sidang media sempena penganjuran RXZ Members 8.0 di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Image from: RXZ Members 8.0: Tiada ‘Pukat’, Tapi Polis Beri Amaran Jangan Ambil Mudah

 

Menurut Mohd. Khairi, berdasarkan penganjuran RXZ Members 7.0 tahun lalu, dua kemalangan maut direkodkan masing-masing di Dungun dan Hulu Terengganu.

Selain itu, dua kemalangan cedera parah turut berlaku di Kemaman dan Setiu, manakala tujuh lagi kemalangan cedera ringan dilaporkan membabitkan Kuala Terengganu, Kemaman, Besut dan Dungun.

“Walaupun jumlah kemalangan maut menurun berbanding tahun sebelumnya, setiap kehilangan nyawa adalah satu tragedi yang amat kita kesali.
Justeru iytu, kita mahu penganjuran kali ini berlangsung dengan lebih selamat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Image from: RXZ Members 8.0: Tiada ‘Pukat’, Tapi Polis Beri Amaran Jangan Ambil Mudah

Beliau menambah, pondok dan khemah polis turut ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk Jalan Pantai Miami dan Jalan Pantai Kota Ketapang bagi menghalang peserta melakukan aksi berbahaya seperti ‘wheelie’ selain meningkatkan kehadiran anggota di kawasan tumpuan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua peserta supaya memastikan motosikal berada dalam keadaan baik, memiliki lesen memandu yang sah serta mematuhi had laju dan semua peraturan jalan raya.

Penggunaan cermin sisi, nombor pendaftaran mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta ekzos standard juga diwajibkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Sumber: Utusan Malaysia (Erma Yusnida Jusoh)

The post RXZ Members 8.0: Tiada ‘Pukat’, Tapi Polis Beri Amaran Jangan Ambil Mudah appeared first on Borak Daily.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved