RXZ Members anjur solidariti Global Sumud Flotilla di Terengganu Ahad ini

03/10/2025 - 17:09
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA TERENGGANU 3 Okt – Komuniti RXZ Members akan menganjurkan program solidariti Global Sumud Flotilla pada Ahad, 5 Oktober 2025, bertempat di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.
Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, program itu adalah sebagai tanda keprihatinan peminat sukan permotoran terhadap aktivitis kemanusiaan yang sedang ditahan oleh tentera laut Israel ketika ini.
“Semua yang hadir berhimpun nanti diwajibkan membawa satu bendera Palestin sebagai tanda solidariti.
“Sebenarnya, himpunan ini terbuka kepada semua orang, bukanlah hanya pemilik RXZ sahaja kerana kita mahu menghantar mesej tanda penyatuan rakyat Malaysia dalam menentang kezaliman Israel ini,” katanya ketika dihubungi DagangNews.com.
Program itu adalah yang pertama kali dianjurkan oleh komuniti RXZ Members melibatkan solidariti perjuangan Palestin yang dijangka mendapat sambutan hangat dari peminat sukan permotoran sekitar Pantai Timur.
Dengan slogan “Suara Orang Muda Gegarkan Dunia”, perhimpunan itu dijadualkan bermula pada pukul 4 petang.
“Orang ramai turut dijemput hadir bagi memeriahkan program yang akan mengetengahkan mesej kemanusiaan dan perpaduan ummah,” katanya.
Dalam pada itu, kapal terakhir flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan iaitu Kapal Marinette turut dipintas tentera Israel kira-kira 3.30 petang tadi (waktu Malaysia).
Sejak awal pagi Khamis, lebih 450 aktivis dari 47 negara telah dipindahkan ke Pelabuhan Ashdod di selatan Israel.
Aktivis di atas kapal yang diserang terdiri daripada pelbagai warganegara termasuk Malaysia, Sepanyol, Itali, Brazil, Turkiye, Greece, Amerika Syarikat, Jerman, Sweden, Britain dan Perancis.
Susulan itu gelombang solidariti bermula di seluruh dunia yang menuntut pembebasan semua aktivis tersebut tanpa sebarang syarat.
Masyarakat dunia juga menggesa agar bantuan itu dapat diberikan kepada penduduk Gaza yang kini diancam kebuluran melalui flotilla kedua yang turut membawa pakar perubatan. - DagangNews.com
featured standard

