
KUALA TERENGGANU – Tiga termasuk dua beranak cedera dalam kemalangan melibatkan dua motosikal Yamaha RXZ dan skuter, di persimpangan lampu isyarat Kampung Buluh Gading, di sini hari ini.
Kemalangan pada pukul 11.50 pagi itu menyebabkan kedua-dua motosikal hangus terbakar selain seorang mangsa kanak-kanak melecur teruk.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Faizal Abu Bakar berkata, kebakaran kedua-dua motosikal terbabit sudah dipadamkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bimba pada pukul 12 tengah hari.
“Pemeriksaan mendapati skuter terbabit hangus 100 peratus manakala motosikal Yamaha RXZ pula terbakar 80 peratus.
“Ibu dan anaknya yang menaiki skuter telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dengan bantuan orang awam,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu klip video dipercayai rakaman kamera papan pemuka kenderaan saksi berdurasi 13 saat yang memaparkan sebuah motosikal Yamaha RXZ dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh skuter dinaiki dua beranak berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor yang dihubungi memberitahu setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kemalangan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post RXZ rempuh skuter, dua beranak cedera appeared first on Kosmo Digital.






