KUALA NERUS - "Isteri saya hamil tujuh bulan dan dijangka melahirkan anak ketiga dua bulan lagi... saya berdoa agar kandungannya tidak terjejas."
Demikian luah Talhah Mahmud, 61, selepas isteri dan anak sulungnya terlibat dalam kemalangan membabitkan peserta RXZ Members 8.0 di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi di Persimpangan Buluh Gading itu, anak sulung mangsa, Ahmad Asyraf Talhah, 13, dilaporkan melecur 60 peratus dari paras pinggang hingga ke bawah.
Talhah berkata, insiden berlaku ketika isterinya, Syafirah Salim, 36, bersama anak mereka dalam perjalanan dari rumah di Kampung Tanjung Sabtu menuju ke Pasar Batu Enam bagi membeli keperluan dapur untuk hidangan tengah hari.
Lelaki Singapura ditahan tunggang RXZ secara berbahaya di LPT2
Tak sempat sampai, dua motosikal terbakar dalam perjalanan ke program RXZ Members
Lagi peserta RXZ Members 8.0 maut rempuh pacuan empat roda berhenti bantu rakan konvoi
"Saya diberitahu sebuah motosikal merempuh motosikal jenis Honda Beat yang ditunggang isteri lalu berlaku tumpahan minyak dan terbakar.
"Anak sulung saya kini berada di wad pembedahan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan bahagian yang melecur," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Dalam Kemalangan itu, motosikal ditunggangi isterinya hangus 100 peratus, manakala motosikal Yamaha RXZ terbabit terbakar kira-kira 80 peratus.
Talhah yang masih berjalan menggunakan tongkat kerana keretakan lutut akibat kemalangan lima bulan lalu berkata, dia reda dengan dugaan berkenaan dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis.
"Sejujurnya saya tidak boleh melihat klip video kemalangan itu, namun saya tabahkan hati dan berdoa agar mereka segera sembuh," katanya.
Ahmad Asyraf yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Mohd Said bersama ibunya kini masih menerima rawatan lanjut di HSNZ.






