S&P kekal A-, dasar ekonomi Madani terus diyakini

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2026 • 9:04 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: S&P kekal A-, dasar ekonomi Madani terus diyakini

PUTRAJAYA – Dasar ekonomi yang dirancang dan dilaksana kerajaan menerusi pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendapat pengiktirafan global berikutan kejayaan Malaysia mengekalkan penarafan kredit berdaulat ‘A-’ oleh S&P Global Ratings (S&P).

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara Seremban berkata, Dr. Mazlan Che Soh berkata, penarafan itu merupakan satu petunjuk penting bahawa asas ekonomi dan kerangka pengurusan makroekonomi negara terus mempunyai daya tahan dalam persekitaran global mencabar.

Beliau berkata, apa yang menarik ialah penilaian S&P bukan hanya berasaskan kadar pertumbuhan ekonomi, tetapi turut mengambil kira kepelbagaian struktur selain momentum pertumbuhan, konsolidasi fiskal secara berperingkat, fleksibiliti dasar monetari serta kedudukan luaran negara.

“Ini menunjukkan bahawa kredibiliti sesebuah kerajaan dalam mengurus ekonomi turut dinilai daripada keupayaannya mengekalkan disiplin fiskal dan kesinambungan dasar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Minggu ini, Malaysia berjaya mengekalkan penarafan kredit berdaulat pada tahap ‘A-’ dengan tinjauan Stabil oleh S&P, sekali gus membuktikan keyakinan terhadap kekuatan asas ekonomi negara serta pengurusan makroekonomi yang kukuh di bawah pentadbiran kerajaan hari ini.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, daripada perspektif rakyat pula, kejayaan pada peringkat makro belum mencukupi sekiranya manfaatnya tidak dapat dirasakan pada peringkat isi rumah.

Katanya, cabaran seterusnya ialah bagaimana pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur dapat diterjemahkan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti, peningkatan produktiviti dan gaji, peluang perniagaan serta pengurangan tekanan kos sara hidup.

“Sebab itu Belanjawan 2027 menjadi penting. Pada pandangan saya, ukuran kejayaan belanjawan bukan semata-mata berapa banyak peruntukan atau bantuan yang diumumkan, tetapi sejauh mana sumber fiskal dapat digunakan secara lebih bersasar untuk meningkatkan keupayaan ekonomi rakyat.

“Bagi kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, tumpuan boleh diberikan kepada peningkatan pendapatan boleh guna, perlindungan sosial, perumahan, pengangkutan, pendidikan dan kos penjagaan Kesihatan,” katanya.

Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana pula, katanya, yang lebih penting ialah akses kepada pembiayaan, pendigitalan, peningkatan produktiviti dan pasaran supaya pertumbuhan ekonomi negara benar-benar menghasilkan pertumbuhan pada peringkat firma.

Menurut beliau, jika Belanjawan 2027 mampu memperkukuh hubungan antara pertumbuhan, produktiviti dan pendapatan rakyat, maka pencapaian makroekonomi negara akan mempunyai makna yang lebih nyata kepada kehidupan seharian masyarakat. – KOSMO! ONLINE

The post S&P kekal A-, dasar ekonomi Madani terus diyakini appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved