IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan pilihan raya negeri (PRN) bakal diadakan dalam masa terdekat di negeri ini seperti dilaporkan dalam analisis politik sebuah akhbar berbahasa Inggeris, 5 April lalu.
Laporan analisis tersebut menyebut Perak berpotensi dijadikan 'ujian berisiko rendah' bagi menilai sokongan pengundi, khususnya Melayu, terhadap Kerajaan Madani selain memberi gambaran awal terhadap keputusan pilihan raya yang lebih besar di peringkat nasional.
Menurut Saarani, beliau sendiri terkejut dengan laporan berkenaan kerana perkara itu tidak pernah dibincangkan di mana-mana platform rasmi mahupun dalam kalangan kepimpinan negeri.
“Saya ada membaca artikel tersebut dan terkejut kerana ia tidak pernah dibincangkan. Untuk mengadakan PRN, Menteri Besar perlu menghadap Sultan Perak bagi mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Dana Kreatif Perak @ Port 2025/2026 di Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Rabu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu menjelaskan, sekiranya cadangan pembubaran tidak mendapat perkenan Sultan, Menteri Besar dianggap telah meletakkan jawatan.
“Saya tidak akan menghadap Tuanku untuk membubarkan dewan. Tambahan pula, kita masih mempunyai lebih setahun untuk meneruskan mandat lima tahun yang telah diberikan.
"Jadi secara peribadi, tiada kemungkinan berlaku PRN di Perak," katanya.
**media[3485433]**
Sementara itu, sumbangan Dana Kreatif Perak berjumlah RM393,000 melibatkan 123 permohonan itu sebagai usaha berterusan kerajaan negeri dalam menyokong penggiat seni dan usahawan kreatif di negeri ini merangkumi kategori seni visual, muzik dan persembahan.
Saarani berkata, sejak diperkenalkan, Dana Kreatif Perak telah menyalurkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.82 juta dengan lebih 500 permohonan diluluskan sepanjang tempoh tujuh tahun pelaksanaannya.
“Melalui inisiatif ini, kerajaan negeri bukan sahaja membantu penggiat seni menjayakan karya mereka, malah mengetengahkan bakat tempatan ke peringkat lebih luas,” katanya.
