'Lepas raya, ramai dijangka kembali kepada UMNO ' - Saarani

LocalPolitics
11 Mar 2026 • 2:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saarani Mohamad. Foto Bernama
image is not available
Saarani (kanan) menyampaikan Juadah Hari Raya 2026 Kerajaan Negeri Perak kepada Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin sebagai simbolik penyerahan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan dpada Rabu.

IPOH – Gelombang kemasukan semula bekas pemimpin dan ahli ke dalam UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa dijangka berlaku selepas sambutan Aidilfitri.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini terdapat banyak khabar mengenai minat dalam kalangan bekas ahli termasuk mereka yang dipecat untuk kembali menyertai parti itu.

"Saya dengar-dengar ramai orang nak datanglah, tetapi setakat ini belum ada di peringkat negeri Perak.

"Saya ingat mungkin lepas raya nanti barulah yang berbondong-bondong memohon untuk kembali kepada UMNO,” katanya.

**media[3459952]**

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya 2026 Kerajaan Negeri Perak kepada pasukan badan beruniform di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, inisiatif Rumah Bangsa yang digerakkan di peringkat pusat membuka ruang kepada mana-mana bekas ahli UMNO yang pernah digantung, dipecat atau meninggalkan parti untuk kembali menyertai semula tanpa sebarang syarat.

"Setakat ini tidak ada borang khas disediakan. Tanpa syarat itu maknanya kedua-dua pihak tidak meletakkan syarat. Kita tidak letak syarat kepada mereka dan mereka juga tidak meletakkan syarat kepada parti," katanya.

Mengulas kemungkinan penyertaan semula pemimpin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat daripada parti berkenaan, Saarani berkata UMNO tidak menghalang mana-mana individu untuk memilih wadah politik masing-masing.

"Kalau ada kalangan mereka memilih untuk kembali bersama dalam UMNO, we welcome them.

"Sekiranya mereka merasakan mahu memilih wadah politik yang baharu, kita juga tidak dapat menghalang kerana itu pilihan individu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, kepimpinan parti turut menerima amanat daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti menjelang pilihan raya akan datang.

Menurutnya, perkara itu disampaikan ketika sesi pertemuan bersama ketua-ketua bahagian UMNO Perak dalam satu majlis berbuka puasa baru-baru ini.

"Pesanan beliau sangat jelas iaitu jangan terlalu mengambil kisah tentang apa yang berlaku dalam parti lain. Yang penting kita perkuatkan UMNO kerana apabila kita kuat, orang akan datang mencari kita," katanya.