Sabah alu-alukan tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri

Politics
3 Nov 2022 • 4:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KERAJAAN Sabah menyokong cadangan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung sekiranya parti itu menang dominan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata ia merupakan satu cadangan yang baik kerana membolehkan seorang wakil pemimpin dari Sabah dilantik bagi memegang jawatan itu kelak.

“Kita akan cari yang benar-benar layak dan berhak sebagai TPM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra sempena sambutan Hari Deepavali anjuran kerajaan Sabah dan Dewan Perniagaan India Sabah di Kota Kinabalu pada 24 Oktober.

Pada 23 Oktober, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan agar tiga jawatan TPM masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung diwujudkan jika parti itu menang dominan pada PRU15.

Beliau juga berkata BN Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya cadangan berkenaan dimasukkan dalam manifesto BN dan GPS pada PRU15 ini.

Sementara itu, Hajiji ketika diminta mengulas mengenai perjumpaan tertutup bersama Ismail Sabri pada 23 Oktober berkata perjumpaan tersebut berlangsung dengan baik dan kedua-dua parti iaitu GRS serta BN akan bekerjasama pada PRU15.

Beliau berkata kedua-dua parti juga komited memastikan kerjasama berkenaan akan menjadi kekuatan kepada kerajaan Sabah memandangkan ia dibentuk antara GRS dan BN selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 pada September 2020.

Mengenai pembahagian kerusi antara GRS dan BN bagi PRU15, Hajiji berkata ia sudah selesai dan senarai calon bertanding pada pilihan raya itu akan diumumkan tidak lagi.

“Kita akan mengumumkannya beberapa hari sebelum penamaan calon,” tambahnya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.