KOTA KINABALU - Sabah bakal memiliki Hospital Institut Jantung Negara (IJN) sendiri susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Yayasan Sabah melalui syarikat pelaburannya, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) dan IJN.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penubuhan hospital jantung yang pertama di Sabah itu merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat di negeri ini.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, hospital yang khusus untuk rawatan penyakit kardiovaskular itu akan dibina di atas tapak seluas kira-kira empat hektar di Likas.
"Ini adalah satu kerjasama yang cukup baik antara Kumpulan Yayasan Sabah dan IJN Sdn Bhd, sesuatu yang kita harapkan akan menjadi kenyataan untuk menambah lagi pusat kesihatan jantung kita di Sabah," katanya selepas menyaksikan MoU tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Isnin.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya berkata, dengan adanya hospital jantung bertaraf tinggi di sini, pesakit tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada kemudahan di luar negeri, sekali gus dapat mengurangkan beban kos perjalanan serta mempercepatkan akses kepada rawatan pakar.
"Usaha ini juga akan membantu menyokong sistem kesihatan sedia ada di Sabah, termasuk perkhidmatan di Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) yang pada masa ini mempunyai kapasiti terhad berbanding keperluan sebenar rakyat," katanya.
Menurut Jasnih, kerjasama strategik ini membawa manfaat kepada rakyat Sabah bukan sahaja dari segi peningkatan akses kepada rawatan kesihatan, tetapi juga dari segi pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan.
Pengerusi IJN, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penyakit jantung masih menjadi penyebab utama kematian di Malaysia dan trend ini memperlihatkan peningkatan keperluan terhadap sistem kesihatan yang lebih responsif dan bersepadu.
"Oleh itu, akses kepada rawatan berkualiti tinggi perlu diperluaskan agar dapat dinikmati secara lebih menyeluruh tanpa mengira lokasi geografi," katanya.
Dalam masa sama, Dr Noor Hisham berkata, langkah pembukaan Hospital IJN di Sabah juga membuka pasaran baharu dalam pelancongan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan perubatan bertaraf global pada harga yang berpatutan.
Sebelum itu, MoU berkenaan ditandatangani oleh pihak Kumpulan Yayasan Sabah yang diwakili pengarahnya, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Jasnih, manakala IJN diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib dan Ketua Pegawai Klinikal, Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya.



