KOTA KINABALU - Keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan semakan kelayakan 40 peratus hasil Sabah disifatkan sebagai satu tamparan hebat dan 'lembaran hitam' dalam lipatan sejarah perjuangan hak wilayah itu.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau meluahkan rasa kecewa dengan perkembangan tersebut, malah turut mendakwa tindakan kerajaan Persekutuan sebagai 'cakap tidak serupa bikin'.
Beliau mengingatkan kembali jaminan terbuka yang pernah diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bahawa kerajaan Pusat tidak akan merayu terhadap sebarang keputusan mahkamah yang memihak kepada Sabah berhubung tuntutan tersebut.
"Umum mengetahui kenyataan Perdana Menteri jelas dilaporkan sebelum ini iaitu tidak merayu keputusan 40 peratus hasil Sabah, muktamad.
"Malangnya, realiti yang berlaku di dewan mahkamah amat bertentangan dengan janji manis yang ditaburkan. Peguam Negara yang mewakili Kerajaan Persekutuan telah memohon dan berjaya mendapatkan penangguhan (stay order).
"Kata tidak merayu, tetapi akhirnya merayu. Kenapa perlu ada dwistandard di antara kenyataan politik di hadapan rakyat Sabah dengan tindakan perundangan di mahkamah?" katanga dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Madius menyifatkan tindakan melengah-lengahkan kelulusan semakan kehakiman itu bukan sekadar satu penangguhan proses undang-undang, tetapi satu lagi bentuk penafian terhadap tanggungjawab kerajaan yang sudah sekian lama tertangguh.
“Perkara ini telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu agar dibayar oleh pihak Kerajaan Persekutuan kepada Sabah selepas tempoh rundingan 180 hari yang sepatutnya jatuh pada 15 April depan.
"Hak 40 peratus ini adalah hak mutlak yang termaktub secara sah dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, serta selari dengan roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," jelasnya.
Justeru beliau yang juga Presiden Kehormat UPKO menggesa kerajaan Persekutuan agar segera menarik balik sebarang tindakan perundangan yang menghalang pelaksanaan hak tersebut.
"Rakyat Sabah hari ini sudah cukup matang dan tidak lagi boleh dihidangkan dengan retorik politik semata-mata. Kepercayaan yang dikhianati pada hari ini akan terus terpahat dalam ingatan.
"Sabah tidak akan lupa sejarah hitam hari ini. Perjuangan ini belum dan tidak akan bernoktah di sini.
"Saya mahu memperingatkan dalam halaman 78, Buku Manifesto PH Kita Boleh pada PRU15 jelas tertera, melaksanakan seperti yang dimaksudkan sebanyak 40 peratus hasil wilayah Sabah dipulangkan berdasarkan formula asal Perkara 112C dan Subseksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh dalam Perlembagaan Persekutuan dalam hal Sarawak, kajian semula hendaklah dibuat seperti yang tertakluk di bawah Perkara 112D Seksyen 3, iaitu setiap lima tahun," katanya.
