
KALABAKAN: Sabah dijangka menerima 40 peratus bahagian daripada projek fasiliti gas asli cecair terapung (FLNG) menerusi perjanjian baharu bersama Petronas yang dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkembangan itu hasil rundingan dan kerjasama baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Kita berjaya mengadakan perjanjian dengan Petronas dan tidak berapa lama lagi mungkin dalam beberapa bulan ini, kita akan menandatangani perjanjian di mana kita akan mendapat 40 peratus daripada gas terapung di Sabah ini.
“Di Sandakan, Petronas sudah mendapat satu lapangan minyak dan gas, di sini kita akan dibagi 20 peratus,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Rakyat dan Jualan Rahmah MADANI Parlimen Kalabakan di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Hajiji berkata, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan memberi banyak manfaat kepada Sabah, khususnya dalam usaha meningkatkan penyertaan negeri dalam sektor ekonomi strategik.
Jelasnya, Sabah juga semakin mendapat perhatian pelabur berikutan dasar mesra pelabur yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Hampir 40 diplomat asing atau pesuruhjaya tinggi datang berjumpa saya dalam tempoh lima tahun ini. Mereka tertarik dengan dasar kita yang mesra pelabur.
“Mereka berkata, dasar ini akan melonjakkan Sabah ke arah yang lebih baik dan memang inilah yang kita lakukan untuk Sabah,” katanya.
Beliau berkata, kawasan perindustrian sedia ada seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) kini semakin pesat membangun susulan sambutan baik daripada pelabur.
Sehubungan itu, kerajaan negeri sedang berusaha memperluas kawasan perindustrian baharu, termasuk Kluster Perindustrian Minyak Sawit Lahad Datu (POIC) di Pantai Timur dan taman perindustrian berasaskan ekonomi biru.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata, kerajaan negeri komited membawa daerah Kalabakan ke arah pembangunan yang pesat dan seimbang.
Antara projek yang diberi perhatian ialah rancangan pembinaan Bandar Baharu Kalabakan di kawasan seluas 404.69 hektar.
“Kita juga rancang pembinaan Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQS) di sempadan dan jalan raya dari sini (Kalabakan) ke sempadan (Indonesia),” katanya. – UTUSAN
The post Sabah bakal terima 40 peratus bahagian projek fasiliti gas asli cecair terapung appeared first on Utusan Malaysia.






