KOTA KINABALU - Jabatan Peguam Besar Sabah mengesahkan bahawa kerajaan negeri akan membantah permohonan yang difailkan oleh Pejabat Peguam Negara Malaysia (AGC) bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025.
Permohonan itu berkaitan dengan semakan dan penentuan hak Sabah terhadap 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh daripada negeri ini bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Peguam Besar Negeri Sabah, Brenndon Keith Soh berkata, perintah Mahkamah Tinggi itu mengarahkan kerajaan Persekutuan mengadakan semakan bersama kerajaan Sabah bagi melaksanakan pemberian khas 40 peratus selaras dengan kerangka Perlembagaan bagi tahun-tahun yang hilang serta mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari, iaitu selewat-lewatnya pada 15 April depan.
"Sejak keputusan tersebut dikeluarkan, kerajaan Sabah dengan sepenuhnya kekal komited mematuhi isi dan maksud keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
"Kerajaan Sabah secara konsisten telah turut terlibat dalam proses libat urus bersama pihak berkuasa Persekutuan berkaitan dan beberapa mesyuarat serta perbincangan teknikal telah diadakan bagi sesi bertukar maklumat, membuat pengesahan data selain pertimbangan terhadap kaedah-kaedah yang sesuai bagi menentukan jumlah amaun Pemberian Khas 40 peratus kepada kerajaan Sabah.
"Kerajaan Negeri Sabah telah melaksanakan kesemua sesi perbincangan tersebut secara konstruktif, telus dengan niat yang baik agar objektif untuk mencapai suatu penyelesaian yang adil, berprinsip serta boleh diterima secara bersama dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh pihak Mahkamah Tinggi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Brenndon berkata, kerajaan Sabah juga telah mengemukakan beberapa cadangan dan kerangka kerja bagi membantu pihak berkaitan mencapai persetujuan bersama.
"Kerajaan Sabah tidak ada melakukan sebarang penangguhan kelewatan mahupun tidak memberi kerjasama dalam melaksanakan Perintah Mahkamah Tinggi.
"Sebaliknya, kerajaan Sabah telah mengambil langkah-langkah yang aktif dan berterusan bagi memastikan proses yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi itu dapat dilaksanakan secara teratur dan produktif.
"Sehubungan itu, kerajaan Sabah kekal bersedia, bersetuju dan berkeupayaan untuk terus berunding dengan kerajaan Persekutuan secara konstruktif dengan tujuan mencapai suatu keputusan yang dipersetujui bersama selaras dengan peruntukan Perlembagaan yang mengawal Pemberian Khas tersebut serta terma-terma Perintah Mahkamah Tinggi berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, Brenndon turut menegaskan bahawa Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan mekanisme perlembagaan yang jelas sekiranya pihak-pihak gagal mencapai persetujuan.
"Peruntukan tersebut menghendaki pelantikan seorang penilai bebas, yang mana syor-syor yang dikemukakan olehnya berhubung perkara tersebut, hendaklah mengikat kerajaan-kerajaan yang berkenaan dan hendaklah dilaksanakan seolah-olah syor tersebut merupakan persetujuan kerajaan-kerajaan tersebut.
"Jaminan perlembagaan ini memastikan bahawa proses semakan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dapat diselesaikan secara teratur walaupun sekiranya tiada persetujuan bersama dapat dicapai," katanya.
Beliau berkata, memandangkan perbincangan masih berlangsung dan mengambil kira tempoh masa yang ditetapkan oleh mahkamah semakin hampir, kerajaan Sabah berpendapat kedua-dua pihak perlu terus menumpukan perhatian serta mempergiat usaha bagi memenuhi terma-terma Perintah Mahkamah Tinggi tersebut.
"Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah akan sentiasa mengambil langkah undang-undang yang sewajarnya bagi melindungi hak dan kepentingan negeri Sabah dan dalam masa yang sama menyokong prinsip kedaulatan undang-undang, prinsip perlembagaan serta semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah," katanya.

