
Kota Kinabalu: Sabah mempunyai potensi besar muncul sebagai hab digital dan inovasi yang menghubungkan Malaysia dengan rantau Asean lebih luas kata Presiden Persatuan Penginapan Jangka Pendek Malaysia (MyStra) Jayden Lee.
Bercakap pada penutupan Forum Ekonomi Digital Malaysia (MDEF2026) ke-10 di International Technology Commercial Centre (ITCC) pada Selasa, beliau berkata transformasi digital kini bukan lagi sekadar soal menerima pakai teknologi.
“Sebaliknya ia adalah mengenai mewujudkan peluang, memperkukuh perniagaan, memperkasakan rakyat dan memastikan setiap wilayah termasuk Sabah dapat mengambil bahagian sepenuhnya dalam masa depan digital Malaysia,” katanya.
Jayden berkata peluang dalam bidang kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembangunan bakat serta ekonomi biru adalah amat besar.
Bagaimanapun katanya usaha memanfaatkan peluang itu memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri, pelabur, institusi akademik dan komuniti.
“Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi hab digital dan inovasi penting yang menghubungkan Malaysia dengan rantau Asean yang lebih luas.
“Marilah kita meninggalkan forum ini bukan sahaja dengan idea baharu tetapi dengan komitmen untuk mengubah idea tersebut menjadi kerjasama dan tindakan,” katanya.
Forum itu menghimpunkan wakil kerajaan, pemimpin industri, pakar teknologi, pelabur dan usahawan bagi membincangkan perkembangan serta peluang dalam ekonomi digital.
Lima bidang utama yang diketengahkan ialah ekonomi biru dan transformasi digital, AI, keselamatan siber, pelancongan digital dan destinasi pintar serta ekonomi pelawat digital baharu.
Dalam ucapan penutupnya Naib Presiden Dewan Perniagaan Digital Malaysia (MDCC) Felicia Lai berkata teknologi perlu memberikan manfaat praktikal kepada perniagaan dan masyarakat manakala penggunaan AI perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan pertumbuhan digital disokong oleh tahap keselamatan siber yang kukuh.
Beliau berkata perniagaan tidak perlu melakukan transformasi secara menyeluruh dalam satu-satu masa kerana kemajuan bermakna boleh bermula dengan penggunaan satu teknologi yang bermanfaat, hubungan baharu atau kerjasama strategik.
“Kejayaan sebenar forum hari ini akan dapat dilihat melalui kerjasama yang kita bina dan tindakan yang kita ambil selepas ini,” katanya sambil menegaskan bahawa idea yang baik perlu diterjemahkan kepada tindakan sebenar.
Program itu turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU), kemasukan ahli baharu MDCC serta penyampaian anugerah bagi mengiktiraf sumbangan cemerlang.
MyStra turut dilancarkan secara rasmi dalam forum berkenaan, diikuti pertukaran MoU dengan rakan strategik tiket.com yang diwakili Naib Presidennya Sara Elorza Susanto.
Majlis pelancaran itu membabitkan Jayden, Penaung MyStra Engku Sri Paduka Diraja Raja Datuk Reza Alhaj Raja Zaib Shah Alhaj, Presiden Persekutuan Pelancongan Malaysia Dr Sri Ganes, tetamu jemputan serta Pengerusi Penganjur Alvis.
Felicia berkata MDCC akan terus menghubungkan agensi kerajaan, perniagaan, pemimpin teknologi, pelabur dan usahawan bagi mengubah idea kepada kerjasama, projek dan peluang perniagaan.


