UCSF perlu buka ruang lebih luas pelajar antarabangsa: Hajiji

9 Aug 2026 • 12:07 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

UCSF perlu buka ruang lebih luas pelajar antarabangsa: Hajiji

Kota Kinabalu: Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) perlu membuka ruang lebih luas kepada pelajar antarabangsa sebagai sebahagian usaha meningkatkan reputasi global institusi itu dan mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab pendidikan di rantau ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata kemasukan pelajar dari luar negara bukan sahaja dapat menggalakkan kepelbagaian dalam perkongsian ilmu, malah membawa manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Melihat perkembangan yang sangat positif ini, UCSF perlu membuka pintunya kepada pelajar antarabangsa.

“Ini dapat meningkatkan reputasi global institusi, menggalakkan perkongsian ilmu yang pelbagai dan membawa manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya pada Konvokesyen UCSF Ke-4 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Sabtu.

Hajiji memuji UCSF kerana memperkukuh rangkaian antarabangsa dan hubungan strategik dengan institusi di Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina. Beliau berkata kerjasama itu menunjukkan UCSF tidak lagi menganggap sempadan geografi sebagai penghalang kepada kecemerlangan, sebaliknya mewujudkan peluang lebih luas untuk mobiliti pelajar, pertukaran pensyarah, penyelidikan bersama dan pembangunan komuniti merentas sempadan.

“Langkah seperti ini akan mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab pendidikan, khususnya di rantau Borneo dan BIMP-EAGA,” katanya.

Hajiji berkata usaha UCSF memperluas tawaran akademiknya menerusi pengenalan program baharu seperti Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Asasi Sains dan pembangunan program Ijazah Sarjana Muda Seni Bina (Kepujian) juga amat membanggakan.

“Usaha membangunkan program Sarjana dan Doktor Falsafah menunjukkan UCSF memasuki fasa baharu sebagai institusi yang memberi penekanan lebih besar terhadap penyelidikan, inovasi dan pengembangan ilmu pada tahap lebih tinggi.

“Inilah transformasi yang kita harapkan daripada sebuah institusi pengajian tinggi. Saya juga dimaklumkan bahawa UCSF merupakan antara institusi utama yang membekalkan tenaga kerja berkemahiran kepada industri pelancongan dan hospitaliti di negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan penuh terhadap pembangunan pendidikan tinggi di Sabah.

Beliau yakin di bawah kepimpinan Naib Canselor, Lembaga Pengarah, pengurusan universiti, ahli akademik, kakitangan dan Yayasan Sabah, UCSF akan terus mencapai kejayaan lebih besar.

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada graduan dan berharap ilmu yang diperoleh dapat menjadi asas untuk mereka menyumbang kepada masyarakat, Sabah dan negara.

“Mari kita bekerjasama membina masa depan Sabah melalui pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi dan tenaga kerja berintegriti,” katanya.

Beliau mengulangi bahawa agenda pembangunan modal insan Sabah terus diperkukuh dengan peruntukan lebih RM100 juta untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini.

Hajiji berkata inisiatif itu memberi manfaat kepada ribuan pelajar yang mengikuti pengajian di pelbagai peringkat, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).

“Peruntukan ini digunakan untuk menyokong pelajar sedia ada serta penajaan baharu bagi 2026, membabitkan 2,182 pelajar yang mengikuti program diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana.

“Setakat ini, jumlah pelajar yang menerima tajaan BKNS telah mencecah 13,389 orang, mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan lebih ramai rakyat Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

“Komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan pendidikan kekal sebagai keutamaan kerana sektor ini merupakan asas penting dalam melahirkan modal insan berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya.

Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras kemajuan negeri dan selaras dengan perkembangan semasa, Sabah amat memerlukan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berdaya saing serta mempunyai pemikiran kreatif.

Beliau berkata kerajaan bertekad untuk meneruskan pelbagai program bantuan pendidikan, termasuk 14 inisiatif pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021.

Kira-kira 416 pelajar menerima skrol masing-masing pada majlis konvokesyen itu.

Turut hadir ialah Pengerusi Yayasan Sabah Datuk Ghulam Haidar, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib serta Naib Canselor UCSF Profesor Madya Datuk Dr Rafiq Idris.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved