Sabah capai sasaran ketibaan pelancong dalam 10 bulan

3 Dec 2022 • 12:40 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Sabah telah mencapai sasaran ketibaan pelancong sebanyak 1.3 juta dalam tempoh hanya 10 bulan tahun ini, kata Penolong Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.

“Sehingga Oktober tahun ini, Sabah menerima seramai 1.34 juta pengunjung dengan pendapatan pelancongan RM2.4 bilion,” katanya dalam ucapan penggulungan Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Ini, katanya, merupakan peningkatan besar sebanyak 752.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Joniston berkata, ketibaan dibahagikan kepada pelawat domestik yang merupakan penyumbang terbesar dengan jumlah 1.19 juta manakala kira-kira 176,009 pelancong antarabangsa dicatatkan.

“Peningkatan ketara dilihat bagi beberapa pasaran antarabangsa seperti Singapura, Brunei Darussalam dan beberapa pasaran Eropah seperti United Kingdom, Jerman, Perancis dan Belanda yang telah mencapai 43 peratus hingga 65 peratus tahap pra-pandemik.”

Menurut Joniston, trend peningkatan ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa ke Negeri ini sejak pembukaan sempadan pada April didorong oleh rangkaian pengangkutan udara yang semakin positif dan memberangsangkan.

“Pada masa ini, Sabah telah menerima sebanyak 354 penerbangan domestik dengan kapasiti 57,991 tempat duduk seminggu dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bahru, Labuan, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Mulu.

“Bagi penerbangan antarabangsa, Negeri ini telah dihubungkan dengan penerbangan terus dari lima destinasi antarabangsa iaitu Singapura, Bandar Seri Begawan, Incheon, Manila dan juga Bangkok dengan jumlah penerbangan sebanyak 47 penerbangan seminggu dan jumlah kapasiti 8,558 tempat duduk.

“Sabah juga dijangka mendapat perkhidmatan penerbangan antarabangsa tambahan dari Taipei, Narita, Busan, dan Hong Kong mulai Disember.

“Ini akan meningkatkan rangkaian penerbangan daripada 47 kepada 71 penerbangan seminggu mulai Januari tahun depan,” katanya.

Bagi sektor penerbangan domestik, katanya, Sabah dijangka mempunyai tambahan perkhidmatan penerbangan baharu daripada MY Airline yang memulakan penerbangan dua kali sehari bermula 1 Disember.

“Peluasan rangkaian udara akan terus menjadi agenda terpenting pada tahun akan datang dan pelbagai inisiatif serta insentif yang telah dirancang tahun ini akan diteruskan tahun depan bagi menyokong dan menggalakkan syarikat penerbangan memulakan semula laluan udara yang terhenti, membuka laluan udara baharu atau mengadakan penerbangan sewa khas ke Sabah,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.