KOTA KINABALU - Nama atlet Muay Thai Sabah, Emmabell yang sebelum ini tular di media sosial selepas menewaskan pesaing dari Indonesia dalam satu pertandingan sukan Byon Combat baru-baru ini, 'dipetik' dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.
Nama Emmabell disebut ketika sesi persidangan berlangsung apabila Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menjelaskan fungsi serta peranan kementeriannya dalam memperkasa ekonomi kreatif negeri.
Perkara itu tercetus ketika Sarifuddin Hata (Warisan-Merotai) mencelah perbahasan dengan memetik laporan bahawa Sabah mencatatkan angka pengangguran tertinggi di negara ini, melibatkan lebih 120,000 orang pada penghujung tahun 2025, khususnya dalam kalangan belia.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana ekonomi kreatif di bawah kementerian berkenaan dapat difahami dengan lebih jelas oleh golongan muda, terutama lepasan sekolah dan graduan universiti yang masih belum mendapat pekerjaan.
"Oleh kerana kekurangan pekerjaan, boleh terangkan sebenarnya ekonomi kreatif yang termasuk dalam kementerian, kadang-kadang anak-anak ini tidak faham, mereka tidak faham apa sebenarnya fungsi kementerian itu dalam meningkatkan ekonomi kreatif ini," katanya.
Menjawab perkara itu, Nizam berkata, kementeriannya telah ditambah baik dengan skop baharu yang turut merangkumi pembangunan ekonomi kreatif bagi melahirkan anak muda Sabah yang berkemahiran dan berdikari.
"Kementerian ini telah ditambah baik dengan nama Kementerian Pembangunan Belia dan juga Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, jadi ekonomi kreatif ini adalah salah satu portfolio baharu yang telah diamanahkan kepada kementerian ini.
"Ia lebih kepada mencari anak-anak Sabah yang mempunyai kemahiran, bukan saja dalam bidang sukan tetapi mungkin mereka pandai menyanyi, mereka pandai melukis, apa sahaja kemahiran yang mereka ada," katanya.
Beliau berkata, peranan kementerian adalah untuk melonjakkan bakat anak muda supaya mampu menjana pendapatan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada pekerjaan kerajaan atau swasta.
"Mereka ini kita mahu jadikan anak Sabah yang berdikari, yang tidak hanya bergantung kepada kerja dengan kerajaan atau swasta, tetapi kemahiran yang mereka ada sebenarnya boleh menjana pendapatan,” katanya.
Nizam berkata, antara pendekatan yang dilaksanakan termasuk program latihan, keusahawanan, pemberian geran serta penganjuran acara pembangunan bakat seperti SAGA Sabah dan penyertaan dalam Sukan Sabah.
Beliau turut merujuk kejayaan anak muda Sabah dalam bidang seni dan sukan yang mula mendapat perhatian, termasuk dalam sukan tempur seperti Seni Bela Diri Campuran (MMA) dan Muay Thai yang kini semakin mendapat liputan meluas.
"Seperti baru-baru ini, kita ada seorang anak Sabah dari Papar yang mendapat liputan meluas atas kejayaannya dalam pertandingan MMA atau Muay Thai.
"Emmabell ini adalah contoh anak Sabah yang kita lonjakkan, bermula daripada program-program yang kita adakan, termasuk Sukan Sabah (SAGA) dan pelbagai latihan," katanya.
Menurutnya, kejayaan seperti itu membuktikan potensi ekonomi kreatif termasuk dalam bidang sukan, seni, influencer dan gig ekonomi yang mampu menjadi sumber pendapatan baharu kepada golongan muda.
"Inilah sebenarnya peranan kita, selain memberi latihan, keusahawanan dan bantuan geran, kita juga mahu beri kesedaran kepada anak muda Sabah supaya mereka boleh hidup berdikari dan menjana pendapatan melalui kemahiran yang mereka ada," katanya.
