Sabah Energy bekerjasama dengan Maybank Investment Bank majukan agenda ESG, program sukuk

14/05/2025 - 12:05
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 14 Mei - Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) bekerjasama dengan Maybank Invstment Bank untuk memperkukuh komitmen terhadap amalan terbaik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menerusi pelan tindakan 12 minggu dalam membangunkan Rangka Kerja Kewangan Mampan sebagai langkah awal pelaksanaan program sukuk sulungnya.
Pengerusi Kumpulan SEC, Datuk Annuar Ayub berkata, inisiatif itu adalah sebahagian usaha jangka panjang syarikat untuk membangunkan tenaga secara bertanggungjawab, dengan menyeimbangkan kelestarian alam sekitar, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan komuniti.
Beliau berkata, rangka kerja tersebut akan menyokong pembiayaan projek tenaga hijau melalui program sukuk berkenaan.
SEC melantik Maybank Investment Bank sebagai penasihat utama, penyusun utama, dan penasihat penyusunan kelestarian.
Kerjasama itu bertujuan mewujudkan platform pembiayaan yang patuh syariah dan bersedia untuk pelaburan mampan dalam usaha peralihan tenaga negeri Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank, Michael Oh-Lau berkata, Sabah kini berada pada titik perubahan dalam pembangunan tenaga boleh baharu (RE), khususnya dalam sektor solar, biojisim, dan geoterma.
"Maybank sebagai peneraju pasaran modal Islam dan kewangan mampan komited menyokong usaha SEC menyalurkan modal ke arah pembangunan tenaga negeri," katanya dalam satu kenyataan.
SEC turut melancarkan inisiatif ESG berasaskan komuniti termasuk larian amal korporat tahunan bagi mempromosikan kesihatan dan impak sosial.
Pengumuman dibuat sempena Forum ESG sulung SEC 2025 di Menara SEC, yang menghimpunkan lebih 100 perwakilan daripada agensi negeri, institusi kewangan, dan badan kelestarian.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEC, Datuk Adzmir Abd Rahman menyifatkan Menara SEC sebagai simbol kemajuan syarikat serta menegaskan komitmen SEC dalam memacu pembangunan tenaga secara mampan dan seimbang.- DagangNews.com
standard


