
Kota Kinabalu: Sabah FC hanya boleh mempersalahkan diri sendiri selepas tercicir mata apabila seri 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam Jumaat lalu.
Mereka berada di landasan tepat untuk meraih mata maksimum selepas mendahului 2-1 sebelum Sony Norde menjaringkan gol daripada sepakan percuma enam minit memasuki masa kecederaan.
Penyerang Haiti itu turut menjaringkan gol pertama untuk pasukan pelawat pada masa kecederaan separuh masa pertama daripada satu lagi sepakan percuma.
Sabah FC memulakan perlawanan dengan baik dan Telmo Castanheira menanduk masuk gol pembukaan dari jarak dekat selepas hantaran tepat daripada sepakan percuma yang diambil oleh kapten Baddrol Bakhtiar pada minit ke-26.
SPONSORED CONTENT Firefly’s inaugural flight to Sandakan SANDAKAN: Firefly, the low-cost carrier subsidiary of Malaysia Airlines; made its inaugural flight from Kota Kinabalu to Sandakan on Tuesday. Read more Darren Lok kemudian menambah gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-37 selepas bola terkena tangan Sardor Kulmatov di dalam kotak penalti sebelum Sony mengurangkan defisit.
Ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee mengakui pasukannya tidak berada pada tahap terbaik.
“Kami tidak bermain sebaik mungkin dan saya percaya Terengganu bermain dengan lebih baik dari segi penguasaan bola.
“Walaupun kami berjaya mencipta beberapa peluang menjaringkan gol, selepas mendahului 2-1 pada separuh masa, kami tidak dapat menambah satu lagi pada separuh masa kedua dan ini telah memberi tekanan kepada kami.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, Terengganu tewas dua perlawanan terakhir sebelum ini dan mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak pulang tanpa mata.
“Tetapi kami juga harus mempersalahkan diri sendiri kerana memberi mereka terlalu banyak ruang dan masa, yang mana mereka berjaya mengawal permainan dengan baik,” katanya selepas perlawanan.
Beliau juga berkata walaupun ketiadaan pemain pilihan utama Saddil Ramdani akibat kecederaan dan Rizal Ghazali yang digantung dalam kesebelasan utama, pasukan itu bermula dengan agak baik.
“Kita semua tahu Rizal terpaksa menjalani penggantungan kad kuning dan Saddil mengalami kecederaan manakala Park (Taesu) baru kembali daripada kecederaan, tetapi pemain yang dipanggil bermain dengan baik dan berjaya mendahului dengan dua gol.
“Malangnya mereka gagal mengawal permainan selepas itu dan gol dilepaskan pada minit terakhir separuh masa pertama.
“Itu sepatutnya boleh dihalang dan jika ia tidak masuk, keputusan akhir mungkin sangat berbeza,” tambahnya.
Sementara itu, Sabah FC seterusnya akan menentang Perak FC di laman sendiri pada 23 Mei sebelum menentang Kuala Lumpur FC pada saingan suku akhir Piala FA juga di Stadium Likas pada 28 Mei.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

