
Kota Kinabalu: Sabah Fest kembali semula selepas enam tahun dihentikan sekali gus meraikan kepelbagaian budaya negeri ini dengan tema “Kesatuan dalam Kepelbagaian, Budaya Menyatukan Kita.”Mula diperkenalkan pada tahun 1988 acara tahunan berkenaan berkembang menjadi antara acara budaya ikonik Sabah namun terhenti beberapa tahun akibat pandemik Covid-19 dan cabaran lain.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Seri Christina Liew berkata penganjuran semula Sabah Fest mencerminkan komitmen Sabah dalam memelihara serta mempromosikan warisan uniknya di samping merancakkan pelancongan budaya.
Beliau berkata ia bukan sekadar perayaan budaya tetapi juga platform untuk mempromosikan warisan negeri yang kaya kepada khalayak global sambil mengingatkan bahawa budaya adalah ikatan menyatukan masyarakat.
“Sabah Fest lebih daripada sekadar acara. Ia adalah pentas yang menampilkan kekayaan serta keindahan budaya Sabah.
“Kami komited untuk mengangkat berita dan laporan khas yang menonjolkan keindahan serta keunikan warisan budaya kita,” katanya ketika merasmikan persembahan Sabah Fest Extravaganza di Dataran Terbuka Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.
Turut hadir Datuk Bandar Datuk Sri Dr Sabin Samitah, Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datin Dr Cleopatra Asing, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pelancongan Sabah Thonny Chee serta CEO SICC Datuk Dr Rosmawati Lasuki.
Mengulas lanjut Christina berkata walaupun sambutan tahun ini berpusat di Kota Kinabalu namun pihak kementerian akan memastikan semangat Sabah Fest menjangkau lebih luas melalui siaran langsung di TV Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan HelloSabah. “Matlamat kami mudah iaitu untuk berkongsi budaya Sabah dengan khalayak seluas mungkin,” katanya.
Sepanjang empat minggu lalu Sabah Fest menampilkan persembahan tarian etnik berwarna-warni di lokasi utama seperti Gaya Street, Imago Shopping Mall, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Suria Sabah, sebelum kemuncaknya berlangsung di SICC.



