Sabah Forest Industries Sdn Bhd gagal rayuan, aset syarikat bakal dicairkan bayar hutang RM120 juta

11/09/2025 - 17:52
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 11 Sept – Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) gagal dalam rayuan terakhirnya untuk membatalkan perintah pembubaran yang dikeluarkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi pada 2021, sekali gus membuka jalan bagi pengurusan aset syarikat untuk disalurkan kepada pemiutang.
Keputusan Mahkamah Rayuan pada Rabu (10 Sept) dibuat secara sebulat suara selepas mendengar bantahan awal yang dikemukakan oleh Sabah Development Bank Bhd (SDB).
Peguam mewakili SDB, Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad berkata, Mahkamah menolak rayuan Sabah Forest Industries kerana gagal memberikan alasan kukuh berkenaan kelewatan notis rayuan.
“Notis rayuan Sabah Forest dihantar hampir dua tahun lewat kepada SDB, yang merupakan pihak yang terlibat dalam prosiding tersebut. Oleh itu, rayuannya ditolak,” katanya.
Beliau menjelaskan SFI kini berhutang kepada SDB sebanyak RM120 juta, termasuk faedah.
Pinjaman asal SDB berjumlah RM93 juta adalah tidak dijamin dan diberikan di bawah pentadbiran Kerajaan Warisan pada 2019, walaupun SFI ketika itu sudah mempunyai hutang kira-kira RM1.5 bilion, berada dalam pengurusan penerima (receivership) dan telah menghentikan operasi sejak 2016.
“Sejak pinjaman diberikan, kami tidak mengetahui sebarang pembayaran balik dibuat oleh SFI.
“Dengan keputusan Mahkamah Rayuan ini, tiba masanya aset SFI direalisasikan untuk membayar pemiutang yang telah menunggu hak mereka sejak 2017,” kata Tengku Fuad.
SFI juga telah kehilangan konsesi balak yang dimilikinya selepas dibatalkan oleh kerajaan negeri, menjadikan aset syarikat lebih terhad tetapi memberi laluan kepada pelaksanaan perintah mahkamah.
Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab dan Evrol Mariette Peters, manakala peguam S.Vanugopal dan J. Marimhuthu mewakili SFI sepanjang prosiding. - DagangNews.com
standard

