E&O jual tanah di London kira-kira RM515.8 juta, bayar hutang dan biaya operasi

21/08/2025 - 11:30
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 21 Ogos – Pemaju hartanah Eastern & Oriental Bhd (E&O) menandatangani perjanjian untuk menjual dua lot tanah pegangan bebas di London seluas 0.54 hektar berharga antara 75 juta pound sterling (RM427.8 juta) hingga 90.54 juta pound sterling (RM515.8 juta).
Namun, harga akhir yang akan dibayar oleh Varsity Capital 1 Propco Ltd bergantung kepada jumlah bilik tidur yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan UK bagi projek perumahan pelajar dengan ruang kerja mampu milik yang dirancang.
E&O dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kadar harga itu juga boleh disemak semula di bawah syarat-syarat tertentu.
“Tanah tersebut dimiliki oleh anak syarikat tidak langsung E&O, Hammersmith Properties Ltd.
“Lot tersebut, yang terletak di Thames Tower dan Landmark House di Hammersmith, dibeli pada Januari 2015 dengan harga 57 juta pound sterling,” kata E&O.
Tapak tanah itu sudah mendapat kelulusan pada Ogos 2017 untuk pembangunan bercampur melibatkan ruang pejabat, hotel dan runcit.
Namun, E&O berkata, kerja-kerja pembinaan tidak dimulakan kerana keadaan pasaran yang lemah.
E&O menjelaskan mereka tidak mendapatkan laporan penilaian rasmi tanah sebelum membuat keputusan untuk menjualnya, sebaliknya terus bersetuju dengan harga yang ditawarkan oleh pembeli.
Buat masa ini, tanah tersebut disewakan untuk pajakan jangka pendek sebagai kemudahan stor dan parker.
Ia masih dicagarkan kepada institusi kewangan untuk kemudahan pinjaman kepada Hammersmith Properties namun tiada baki pinjaman tertunggak.
“Pelupusan yang dicadangkan adalah selaras dengan strategi E&O untuk mengekalkan nilai modal dan mengukuhkan lembaran imbangan melalui penjanaan tunai.
“Ia boleh digunakan untuk projek dan pelaburan lain bagi memaksimumkan pulangan E&O atau bagi pembayaran balik pinjaman,” jelas syarikat itu.
E&O merancang untuk menggunakan kira-kira RM200 juta daripada hasil bersih RM221.8 juta pelupusan itu untuk membayar balik pinjaman bank, menyokong projek hartanah sedia ada serta berpotensi memperoleh tanah baharu, usaha sama atau hak pembangunan, walaupun tiada sasaran khusus ditetapkan setakat ini.
Hasil pelupusan dijangka digunakan sepenuhnya dalam tempoh 36 bulan.
Selepas pelupusan ini, satu-satunya hartanah E&O yang ada di UK ialah 54 unit Lincoln Suites di Princes House berhampiran Covent Garden.
Sebelum ini, E&O telah menjual ESCA House di Bayswater pada harga 13 juta pound sterling (RM75 juta).- DagangNews.com
standard

