
BRISBANE: Sabah sedang meneroka baka lembu berkualiti tinggi dan teknologi pembiakan di Australia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh industri ternakan lembu serta meningkatkan pengeluaran daging lembu tempatan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar membuat penilaian itu ketika mengadakan lawatan kerja ke beberapa ladang ternakan lembu terkemuka di sini.
Lawatan itu turut disertai Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah Dr Zul Bahar dengan misi untuk memberi tumpuan kepada penerokaan potensi kerjasama teknikal serta menilai kualiti genetik baka lembu berkualiti tinggi berdasarkan piawaian antarabangsa.
Jamawi berkata pemindahan teknologi genetik dan pembekalan anak lembu berkualiti tinggi dari Australia dijangka dapat mempercepatkan pertumbuhan sektor ternakan tempatan manakala program pembiakan yang dirancang akan meningkatkan populasi lembu serta mengoptimumkan pengeluaran daging lembu tempatan berkualiti bagi memenuhi permintaan domestik yang semakin meningkat.
“Saya yakin industri ternakan lembu Sabah akan mencapai kejayaan besar sekiranya kita dapat menyediakan baka berkualiti tinggi kepada penternak,” katanya.
Beliau berkata baka unggul yang dipilih akan menawarkan daya tahan lebih tinggi terhadap penyakit, pertumbuhan fizikal yang lebih cepat serta kualiti daging yang memenuhi piawaian pengguna.
Pengagihan baka lembu akan dilaksanakan secara terancang dan bersasar dengan baka yang dipilih akan dibekalkan kepada penternak tempatan yang berjaya menamatkan kursus pengurusan ternakan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan berkaitan.
Pendekatan itu bertujuan memastikan penternak yang menerima bantuan memiliki kemahiran teknikal, pengetahuan pengurusan ladang serta pemahaman mengenai pemakanan ternakan yang optimum.
Jamawi menegaskan bahawa penggabungan pengetahuan penternakan moden dengan baka lembu unggul amat penting bagi memastikan pulangan yang lebih baik kepada penternak sambil menambah bahawa inisiatif itu mampu membantu meningkatkan taraf hidup penternak berskala kecil dan menjadikan mereka usahawan pertanian yang berdaya saing.
Misi lawatan kerja itu turut memperkukuh kerjasama antara Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dalam membangunkan strategi pemantauan susulan.
Pemantauan berterusan akan dilaksanakan di peringkat tempatan bagi memastikan proses penyesuaian baka lembu dari Australia berjalan lancar mengikut keadaan iklim dan geografi Sabah.
Inisiatif yang sedang dilaksanakan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sekuriti makanan serta mengurangkan kebergantungan terhadap daging lembu import.
Dengan pelaksanaan program pembiakan itu, Sabah dijangka berada pada kedudukan lebih baik untuk menjadi pengeluar utama produk daging lembu berkualiti tinggi di rantau ini pada masa hadapan.
