Sabah jadi transit seludup syabu. Lima pegawai TUDM antara 11 ditahan: Sindiket guna pengangkutan tentera

21 Nov 2026 • 11:58 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Sabah jadi transit seludup syabu. Lima pegawai TUDM antara 11 ditahan: Sindiket guna pengangkutan tentera

Kota Kinabalu: Sebuah sindiket dadah disyaki menggunakan pengangkutan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menyeludup syabu (methamphetamine) dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke Filipina dan Indonesia.

11 orang, termasuk lima pegawai TUDM dan enam orang awam, ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada Selasa. Polis merampas 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98kg cecair kimia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak Julai lalu, manakala dua daripada orang awam yang ditahan disyaki menyelaras kegiatan pengedarannya.

“Cara sindiket itu beroperasi menunjukkan betapa beraninya mereka mengeksploitasi kemudahan serta kepercayaan yang diberikan kepada individu tertentu dalam institusi keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan.

Polis sedang mengesan seorang lelaki warga Malaysia yang dipercayai ketua sindiket berkenaan, selain berusaha mengenal pasti individu lain yang terbabit dalam rangkaian itu.

Lima pegawai TUDM berkenaan direman tujuh hari bermula 18 hingga 24 Nov, manakala orang awam yang ditahan direman antara dua hingga lima hari.

Dua daripada orang awam yang ditahan didapati positif methamphetamine menerusi ujian saringan air kencing awal. Seorang daripada mereka turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Polis turut menyita dua kenderaan, masing-masing Honda CR-V dan Toyota Vios, dengan anggaran nilai keseluruhan RM126,062 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hussein merakamkan penghargaan kepada Cawangan Provos Marsyal TUDM atas kerjasama dalam operasi berkenaan. Beliau berkata polis sedang berusaha melumpuhkan rangkaian pengedaran sindiket itu serta memutuskan sumber pembiayaannya.

Di TAWAU, Dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rampasan dadah berskala besar yang menggunakan aset pesawat tentera di Shah Alam, Selangor, pada 17 Nov lalu.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek lelaki berusia 28 dan 48 tahun itu, masing-masing berpangkat koperal dan Pegawai Waran II TUDM, dikeluarkan oleh Majistret Don Stiwin Malanjum pada Jumaat.

Permohonan reman dikemukakan pegawai penyiasat, Inspektor Hamka Ab Rashid, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berdasarkan permohonan reman, kedua-dua suspek yang beralamat di Tawau itu ditahan kira-kira 7 pagi Jumaat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Polis turut merampas dua telefon bimbit milik kedua-dua suspek bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah berskala besar pada 17 Nov lalu, kira-kira 6.50 petang, di ruang legar ketibaan Cabang Pergerakan Udara Subang, Shah Alam, Selangor.

Permohonan reman itu dikemukakan bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan, termasuk merakam percakapan pengadu dan saksi oleh Bahagian Interogasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, bagi mengenal pasti penglibatan suspek serta sumber bekalan dadah berkenaan.

Polis juga memerlukan tempoh reman itu untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada telefon bimbit yang dirampas serta menjalankan proses pengecaman terhadap suspek lain yang masih bebas.

Selain itu, kedua-dua suspek dijangka dibawa ke JSJN Bukit Aman untuk siasatan lanjut memandangkan kes berkenaan membabitkan rampasan dadah berskala besar dan memerlukan siasatan terperinci.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap penyeludupan dadah dan rasuah yang membabitkan anggota pasukan keselamatan.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Ketua Polis Negara, Menteri Pertahanan dan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved