Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Cuba campur bagasi dadah dengan beg yang sudah lepas pemeriksaan keselamatan, namun taktik seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbongkar selepas tindakannya dikesan anggota bertugas di Pangkalan Udara Subang, Selasa lalu.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, pegawai berkenaan dipercayai cuba menyeludup masuk bagasi berisi dadah dengan mencampurkannya bersama bagasi yang sudah melepasi mesin pengimbas.
Menurutnya, kegiatan itu bagaimanapun berjaya dikesan kira-kira jam 10 pagi apabila pegawai Cawangan Pergerakan Udara menemui lima bagasi berbalut plastik dan sebuah kotak tanpa pelekat tapisan keselamatan di kawasan ketibaan dan tuntutan bagasi.
Pemeriksaan awal terhadap kotak yang sedikit terbuka itu menemukan beberapa botol berlabel baja kimia yang dilarang dibawa menaiki pesawat.
“Pegawai bertugas kemudian membawa bagasi berkenaan ke mesin pengimbas untuk pemeriksaan dan mendapati ia mengandungi bungkusan yang tersusun rapi serta mencurigakan.
“Pegawai berkenaan seterusnya mengarahkan seorang anggota lain untuk mencari pemilik bagasi berkenaan bagi tujuan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Artikel berkaitan: “Macam American Gangster” – JSJN Bongkar Sindiket Dadah Guna Penerbangan TUDM, Syabu Bernilai RM4.83 Juta
Artikel berkaitan: “Beg dibawa tiada imej mencurigakan” – AKPS Perjelas Isu Juruterbang Malaysia ‘Kantoi’ Seludup D*dah
Suspek cuba letak kembali bagasi ke kereta
Muhamad Norazlan berkata, pihaknya kemudian mengarahkan seorang anggota mencari pemilik bagasi berkenaan sebelum mendapati ia milik seorang pegawai yang terlibat dalam penerbangan TUDM.
Pegawai terbabit kemudiannya hadir untuk membuka bagasi bagi pemeriksaan fizikal. Bagaimanapun, kelima-lima bagasi itu didapati belum melepasi mesin pengimbas.
Lebih mencurigakan, pemiliknya cuba membawa semula bagasi berkenaan ke keretanya, namun tindakan itu dihalang oleh pegawai bertugas.
Suspek kemudian menggunakan pisau untuk memotong bagasi berkenaan dengan alasan tidak mempunyai kunci sebelum pemeriksaan menemukan bungkusan merah yang terkoyak dan mengandungi ketulan kristal disyaki dadah.
Dadah bernilai RM4.83 juta dirampas
Insiden itu segera dilaporkan kepada ketua pengawal dan Ketua Skuadron 211 Pasukan Pertahanan Darat Tentera Udara (HANDAU) sebelum diserahkan kepada Cawangan Penyiasatan Jenayah TUDM.
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman turut dimaklumkan dan tiba di lokasi kira-kira jam 5.20 petang untuk menjalankan pemeriksaan awal.
Hasil ujian mengesahkan bahan itu mengandungi dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan MDMA dengan berat keseluruhan 96.64 kilogram, bernilai kira-kira RM4.83 juta.
Polis turut merampas cecair bahan kimia seberat 6.98 kilogram bersama lima beg dan sebuah kotak untuk dijadikan bahan bukti.
Dalam perkembangan terkini, dua pegawai ditahan di Pangkalan Udara Subang, manakala seorang lagi pegawai ditahan di pangkalan udara TUDM lain pada hari sama.
“Tiga pegawai dan sembilan anggota lain-lain pangkat terdiri daripada anggota HANDAU, unit provos dan kru penerbangan turut dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Sumber: Harian Metro/PDRMArtikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






