
KALABAKAN: Sabah mengekalkan rekod daftar Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang kedua terbanyak di seluruh negara dengan pendaftaran terkini mencatat sebanyak 1,221 organisasi.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Ruji Ubi berkata terdapat 8,530 KRT berdaftar dengan Selangor merekodkan pendaftaran terbesar manakala Sarawak pula ketiga.
“Kita harap semua KRT menjadi ejen perpaduan nasional dan keselamatan negara,” katanya, ketika ditemui sempena pelancaran KRT Kampung Sungai Haji Matahir, di sini pada Sabtu.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Ruji berkata setakat ini lebih 80 peratus KRT di seluruh Sabah disifatkan berada pada tahap sangat aktif dan aktif, namun beliau tidak menafikan ada juga KRT yang dilabelkan tidak aktif.
Hasil lawatannya ke KRT-KRT di Sabah seperti di Penampang, Tuaran, Tawau dan Kalabakan turut disifatkannya sebagai meriah dengan pelbagai aktiviti melibatkan penyertaan orang ramai.
“Kita juga berharap semua KRT dapat melibatkan rakyat berbilang kaum dan agama menerusi pelaksanaan program mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kementerian,” katanya.
Menurutnya, tindakan akan diambil terhadap KRT-KRT yang tidak aktif termasuklah pembatalan status pendaftaran justeru penting untuk semua organisasi terlibat menjalankan aktiviti mereka.
Mengulas lanjut, Ruji percaya penyertaan komuniti yang berbeza latar belakang termasuk fahaman politik dalam program-program KRT mampu menjayakan agenda perpaduan nasional.
“Ketika ini kita menyarankan mereka supaya aktif menjalankan program-program sukaneka melibatkan pelbagai kaum dan usia termasuklah warga emas dan kanak-kanak,” katanya.
Menyentuh KRT Kampung Sungai Haji Matahir pula, Ruji berkata sebagai KRT terbaharu beliau berharap mereka dapat mempromosikan perpaduan tanpa menjatuhkan antara satu sama lain. Lebih-lebih kawasan penempatan itu mempunyai penduduk yang ramai dengan 250 rumah melibatkan dua kampung berjiran iaitu Kampung Sungai Haji Matahir dan Kampung Beruang.
“Kita juga minta penduduk kampung menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) supaya dapat dipertimbangkan untuk pelaksanaan program pembangunan ekonomi seperti KRT Progresif.
“Pada masa sama, diharap lebih banyak KRT dapat diwujudkan di Daerah Kalabakan khasnya di kawasan Merotai kerana platform ini amat bagus untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Selain KRT, agenda perpaduan nasional turut diterapkan melalui SRS, Pusat Asuhan Warga Emas (Pawe), Jiran Wanita, Jiran Muda, Tabika Perpaduan dan Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

