
Kota Kinabalu: Sabah terus komited untuk mengekalkan standard tertinggi keselamatan pelancong, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.
Beliau memberi jaminan itu dalam ucapan alu-aluannya pada Mesyuarat Penyelarasan Pelancongan bersama agensi-agensi Persekutuan dan Negeri yang dipengerusikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Seri Tiong King Sing di sini, Selasa.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan penghargaan tulus kepada Motac atas sokongan berterusan dalam memperkukuh industri pelancongan Malaysia.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Dengan kerjasama erat antara Motac, Kerajaan Negeri dan agensi penguatkuasaan, saya yakin kita dapat menjadikan Sabah bukan sahaja salah satu destinasi tercantik di dunia, tetapi juga antara yang paling selamat,” katanya.
Liew turut berterima kasih kepada Tiong atas keprihatinan berterusan terhadap isu keselamatan di Semporna, khususnya. “Kami percaya kita berkongsi komitmen yang sama dan kemajuan yang dicapai adalah selaras dengan Kerajaan Persekutuan.”
“Bagi kami, memastikan persekitaran pelancongan yang selamat bukan sekadar melindungi nyawa dan mengutamakan kesejahteraan, tetapi juga mempertahankan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia. Keprihatinan dan komitmen berterusan anda (Menteri Persekutuan) terhadap perkara penting ini amat bermakna,” tambahnya.
Beliau menegaskan, keselamatan pelancong adalah kritikal dalam mengekalkan keyakinan pelancong domestik dan antarabangsa serta pelabur sektor pelancongan.
“Dalam era media sosial, berita tentang insiden keselamatan terpencil sekali pun boleh tersebar pantas dan menjejaskan imej pelancongan kita. Sebab itu kita mesti sentiasa berwaspada,” katanya.
Mengakui sejak kebelakangan ini Sabah berdepan beberapa isu keselamatan membabitkan kemalangan ketika aktiviti seperti selam skuba, snorkeling dan papan dayung di kawasan marin dan pulau, Liew menekankan ia membuktikan keperluan mendesak untuk memperkukuh protokol keselamatan, pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) serta latihan yang lebih baik kepada pemandu pelancong dan pengendali bot.
Bagi menangani isu ini, katanya, Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan tegas.
“Contohnya, kita telah memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi meningkatkan rondaan dan pemantauan,” kata Liew.
Papan tanda keselamatan berbilang bahasa turut dipasang di lokasi pelancongan berisiko tinggi seperti di balai ketibaan Lapangan Terbang Tawau dan Lapangan Terbang Sandakan, tambahnya.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai; Ketua Setiausaha Motac, Datuk Shaharudin Abu Sohot; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Norlija @ Norlijah Danin; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Josie Lai; Timbalan Setiausaha Tetap I KePKAS, Mary Malangking; Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr Maklarin Lakim; dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffery Jimit.




