Sabah Maju Jaya beri harapan kepada penduduk luar bandar

22 Mar 2024 • 12:16 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tuaran: Penduduk terdiri keluarga miskin di kawasan luar bandar Sabah melihat inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai penyelamat daripada situasi sukar, walaupun terdapat segelintir pihak mempersendakan slogan Jata Sabah tersebut.

Di Kiulu sahaja, lebih 40 keluarga mengalami impak transformatif daripada Program Rumah Mesra SMJ yang diterajui oleh Kerajaan GRS-PH Plus sejak dua tahun lalu.

Adun Kiulu Datuk Joniston Bangkuai berkata, seramai 20 keluarga di kawasannya bakal mendapat manfaat hasil inisiatif berkenaan pada tahun ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan GRS itu turut berkata kesan inisiatif itu dirasai di seluruh Sabah kerana setiap DUN diperuntukkan 20 rumah SMJ.

SPONSORED CONTENT Sabah revenue hits RM6.97 billion: Hajiji says GRS State Government may see full term Kota Kinabalu: The Sabah Government continued its momentum in managing the economy in line with the commitment and spirit of the Sabah Maju Jaya (SMJ) when it posted record high state revenue of RM6.973 billion last year. Read more “Impak SMJ merupakan pencetus perubahan dan tidak harus diperkecilkan.

“Sebelum Kerajaan GRS-PH Plus, kawasan DUN Kiulu hanya diperuntukkan antara empat hingga lima rumah bantuan untuk golongan miskin tegar setiap tahun,” katanya.

Baru-baru ini, Joniston menyerahkan kunci Rumah SMJ kepada penerima dari beberapa kampung di sini.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap sindiran yang dilontarkan oleh pihak pembangkang, dalam mengambil kesempatan untuk menjadikan usaha SMJ sebagai perbatuan politik tanpa mengambil kira kesan sebenar terhadap kehidupan rakyat Sabah.

Menyentuh perubahan besar yang dibawa oleh kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Joniston sekali lagi menekankan pertambahan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada Adun di bawah pentadbiran GRS-PH Plus, berbanding RM1.5 juta di bawah kerajaan terdahulu.

“Peningkatan dana ini membolehkan kita menangani keperluan mendesak rakyat luar bandar secara berkesan.

“Ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan bantuan penting sampai kepada mereka yang memerlukannya serta memastikan wakil rakyat bertanggungjawab menguruskan dana mereka secara berkesan,” kata beliau.

Dalam majlis penyerahan kunci Rumah SMJ, penerima Waitin Banggang dari Kampung Ranau-Ranau berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan bantuan rumah dan kestabilan yang diperlukan.

“Selepas bertahun-tahun memohon dan gagal dalam percubaan mendapatkan bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), akhirnya memiliki Rumah SMJ amat bermakna kepada keluarga saya,” katanya.

Stella Lonsiun dari Kampung Logkou Lama, yang sudah dua tahun menantikan kelulusan Rumah SMJ, berkata dia pada mulanya tidak tahu cara mendapatkan bantuan tersebut.

“Terima kasih kepada sokongan dan bimbingan yang diberikan oleh Adun kami dan pemimpin akar umbi, saya mempunyai pemahaman lebih mendalam tentang kepentingan usaha SMJ.

“Bantuan ini sangat diperlukan dan saya benar-benar bersyukur,” katanya.

Robert Kampadong dari Kampung Logub turut memuji kerajaan negeri dan menggambarkan komitmen SMJ sebagai telus dalam memperkasa kehidupan penduduk luar bandar.

“Bagi saya, inisiatif SMJ ini melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat, dan saya berharap bantuan rumah ini diteruskan agar mereka yang masih menunggu kelulusan dapat merasai impak sama seperti keluarga saya,” ujarnya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.