
Kota Kinabalu: Sabah menjadi negeri pertama di negara ini melaksanakan program caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi atlet Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukan Para Malaysia (Para Sukma) negeri.
Cek cura berjumlah RM400,000 telah disampaikan kepada Pengarah KWSP Sabah Haji Mohd Fadil Sarehan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin pada majlis ringkas yang diadakan di sini pada Isnin lalu.
Jumlah itu merupakan caruman kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan untuk 72 atlet yang dipilih pada Februari tahun ini.
Ellron berkata atlet-atlet ini akan menerima caruman dengan syarat mereka mesti mengikuti program latihan Majlis Sukan Sabah dan dengan laporan yang baik daripada jurulatih.
“Kami berharap caruman ini dapat menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi bidang sukan dan merebut peluang mewakili Sabah khususnya dalam Sukma dan Para Sukma.
“Ramai yang dahulunya mungkin menyangka bergiat dalam sukan tiada masa depan, tetapi sumbangan ini akan membuka mata semua orang bahawa sukan sememangnya satu kerjaya yang menguntungkan,” katanya.
Tambahnya, Kementerian kini sedang mengkaji pelaksanaan caruman fasa dua di mana atlet pasca Sukma dan Para akan terus menikmati faedah daripada kerajaan jika mereka dimasukkan dalam program Majlis Sukan Negara.
Sementara itu, Fadil dalam ucapannya memuji inisiatif Kementerian dalam menjaga kebajikan atlet melalui caruman itu.
“Ini amat penting bagi memastikan atlet ini mempunyai sekurang-kurangnya sedikit simpanan selepas bersara.
“Dan apa yang bagusnya ialah caruman ini dapat diteruskan oleh penerima sebaik sahaja mereka memasuki alam pekerjaan nanti,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Mansur Haji Asun, Pengarah Majlis Sukan Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor dan Timbalan Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Janih Bangud.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

