
Kota Kinabalu: Sabah terus menikmati pelbagai manfaat hasil hubungan erat yang terjalin sekian lama antara Malaysia dan China, kata Pemangku Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.
Beliau berkata, hubungan tersebut meliputi pelbagai bidang termasuk ekonomi, pelancongan, pendidikan serta pertukaran budaya, yang telah menyumbang kepada pembangunan negeri.
“China merupakan antara sumber utama pelancong antarabangsa ke Sabah selain daripada program pertukaran budaya, kerjasama penyelidikan serta inisiatif pemuliharaan warisan,” katanya ketika berucap pada Dialog Tamadun Konfusian–Islam di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Dialog ini meneruskan sejarah panjang hubungan Malaysia–China bagi memperkukuh diplomasi budaya, agar generasi akan datang bukan sahaja mewarisi hubungan ekonomi, tetapi juga ikatan kefahaman dan persahabatan yang berkekalan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa dalam era globalisasi kini, warisan budaya tidak seharusnya dibiarkan pudar.
“Sebaliknya, kita mesti memelihara, mempelajari dan berkongsi warisan itu dengan dunia,” tambahnya.
Liew memberi jaminan bahawa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah komited untuk terus melindungi aset budaya negeri.
“Institusi seperti Muzium Sabah memainkan peranan penting dalam mendokumentasi dan memelihara sejarah kita, selain mendidik generasi muda tentang warisan mereka,” katanya.
Beliau berbesar hati dengan lawatan Pengerusi Liu Yuzhu dan China Foundation for Cultural Heritage Conservation ke Muzium Sabah, yang akan membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang pemuliharaan budaya.
Katanya, dialog berkenaan merupakan platform penting yang mempertemukan sejarah, falsafah dan budaya, bagi mengingatkan manusia tentang nilai sejagat yang menyatukan kemanusiaan.
Liew turut memetik kenyataan Presiden Xi Jinping semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, yang menekankan kepentingan meneruskan Dialog Tamadun Konfusian–Islam serta memperkukuh pertukaran rakyat-ke-rakyat.
“Ketika dunia berdepan cabaran salah faham, polarisasi dan perpecahan, kita mesti terus membina jambatan dialog — bukan tembok pemisah,” katanya.


