
Kota Kinabalu: Delegasi tiga anggota dari Jabatan Alam Sekitar (Jas) Persekutuan Sabah melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Seri Christina Liew pada Isnin.
Kunjungan hormat berkenaan bertujuan bagi membincangkan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) peringkat negeri yang bakal diadakan.
Sambutan itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), JPAS Sabah dan Jas Sabah dengan kerjasama Persatuan Pemuliharaan Tanah Lembap Sabah.
“Kami berbesar hati menyokong Sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat negeri dan gembira apabila penganjur melibatkan murid sekolah, pelajar universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat untuk turut serta secara aktif dalam program yang diadakan,” kata Liew yang dijemput merasmikan acara itu pada 8 November di Pusat Ramsar Tanah Lembap Kota Kinabalu.
Acara itu akan diserikan dengan aktiviti berjalan dan menanam semula pokok bakau, pameran kitar semula sisa elektronik (E-Waste) serta program kutipan sisa elektronik isi rumah selain pelbagai aktiviti lain.
Menteri juga akan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Melukis Sekolah Rendah, Pertandingan Infografik Sekolah Menengah, Pertandingan Fotografi Awam serta Pertandingan Kitar Semula Kreatif Sisa Elektronik (Upcycling E-Waste) untuk institusi pengajian tinggi (IPT).
Liew turut mengambil kesempatan menyerahkan beg mesra alam (ecobag) kepada wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dari seluruh Sabah.
Dalam kunjungan itu Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPAS) Daisy Aloysius memperkenalkan Pengarah baharu Jas Sabah Nor Rashidah Mohd Ghazali kepada Menteri.
Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Amir Hamzah Musa dan Penolong Pengarah Kanan Chai Hsieh Nee.
Dalam pada itu Nor Rashidah berkata HASN adalah penjenamaan semula dan penambahbaikan kepada Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) yang disambut di negara ini setiap tahun dari 21 hingga 27 Oktober sejak 1991 sempena Hari Alam Sekitar Malaysia.
Beliau menerangkan bahawa objektif HASN adalah untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar mengenai isu kritikal seperti pencemaran, perubahan iklim dan kepupusan biodiversiti, mendidik masyarakat tentang tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar termasuk pelajar, NGO, serta sektor awam dan swasta.


