
SABAH harus diberi hak mengimport dan mengeksport beras seperti yang pernah dilakukan Sabah sebelum 1982, kata Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Japiril Suhaimin.
“Sekarang monopoli beras telah dipecahkan, Sabah sepatutnya mendapatkan kembali haknya.
“Bernas dilaporkan menguasai 30.6 peratus pasaran beras tempatan dan turut mengimport beras dari Thailand dan Myanmar bagi memenuhi permintaan tempatan.
“Syarikat itu pada asalnya adalah Lembaga Padi dan Beras Negara yang dikorporatkan dan diswastakan pada 1990an.
“Ini adalah masa yang tepat untuk hak mengimport dan mengeksport beras diserahkan semula kepada Sabah. Sabah mesti mengawal import beras di Sabah bagi mengelak monopoli Bernas,” katanya dalam satu kenyataan.
Lembaga Padi Sabah ditubuhkan pada 1965 dan mula beroperasi pada 1967. Ia ditutup pada 1981. Japiril berkata, menghidupkan semula Lembaga Padi Sabah pastinya memberi nafas baharu kepada pesawah di Sabah.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan perlu mengamalkan dasar terbuka terhadap import beras, rakyat Malaysia akan mendapat manfaat kerana harga makanan ruji itu kemudiannya boleh dikurangkan sekurang-kurangnya 50 peratus.
“Kerajaan mesti menamatkan monopoli dan mengeluarkan lesen kepada syarikat lain supaya wujud persaingan sihat dalam import beras.
“Ini akan membuatkan rakyat lebih gembira. Isu Bernas telah berlarutan selama bertahun-tahun dan ia harus diselesaikan.
“Konsesi Bernas sebagai pengimport tunggal beras negara adalah tidak adil. Perlu ada kajian semula dan Kerajaan tidak perlu melanjutkan konsesi monopoli Bernas.
“Bernas telah mengaut keuntungan berbilion ringgit sejak 2018. Keuntungan terkumpul Bernas pada 2018 ialah RM1.2 bilion, RM1.3 bilion pada 2019 dan RM798 juta pada 2020,” katanya.
Beliau berkata sebelum menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengkritik kerajaan ketika itu kerana keputusannya untuk melanjutkan tempoh konsesi Bernas, yang memberikannya kuasa untuk memonopoli import beras.
“Memandangkan Anwar kini menjadi Perdana Menteri, Kerajaannya boleh menyemak semula permit yang diberikan kepada Bernas,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
