Sabah perkenal dua varieti baharu padi

LocalFood
24 Aug 2025 • 10:52 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tuaran: Kementerian Pertanian, Perikanan Dan Industri Makanan Sabah melalui Jabatan Pertanian memperkenalkan dua varieti baharu padi dalam usaha menangani isu penyakit dan perosak utama.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Peto Galim berkata dua varieti baharu berkenaan adalah padi sawah TR 11 (Tuaran Rice) dan padi tanah kering TDR 1 (Tuaran Dryland Rice).

“TR 11 merupakan varieti padi sawah ke-23 bakal dilancarkan dan ia setanding TR 8 yang mempunyai kelebihan lebih menonjol dari segi kualiti rasa.

“Varieti padi ini berpotensi menghasilkan 6.5 hingga 10.3 metrik tan per hektar, tempoh masa matang lebih singkat serta mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap serangan penyakit dan perosak utama,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Hari Terbuka Pusat Penyelidikan Pertanian Tahun 2025 pada Sabtu.

Menurut  beliau bagi varieti TDR 1 pula padi terbabit kali pertama dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian.

“Ianya varieti padi ke-24 yang akan dilancarkan dan padi ini terdapat banyak kelebihan di mana tempoh kematangannya singkat serta berpotensi mencapai 3.0 hingga 4.0 metrik tan per hektar.

“Dari segi kualiti TDR 1 menghasilkan beras berwarna keperangan, beraroma dan kualiti rasa yang baik selain turut mempunyai daya tahan terhadap serangan penyakit,” ujar beliau. Justeru beliau berkata kedua-dua varieti padi baharu itu berpotensi besar untuk ditanam secara komersil yang lebih mampan dan menguntungkan.

Difahamkan padi TR 11 berasal dari sumber tempatan di daerah Kota Marudu manakala TDR 1 pula dari Tenom.

Kedua-dua varieti padi itu dipulihara dan disimpan di Bank Janaplasma Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran sebelum menjalani penilaian serta kajian penanaman semula.

Dalam perkembangan lain beliau menyatakan kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan datang kerajaan negeri komited untuk terus memperkukuh sektor agromakanan melalui pelaburan dalam teknologi moden, pengukuhan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta peningkatan infrastruktur dan akses pasaran bagi para petani dan usahawan tani.

“Saya menyokong penganjuran program pameran teknologi dan inovasi terkini dalam bidang pertanian malah turut menjadi platform pemindahan teknologi pertanian kepada petani, pengusaha pertanian, usahawan tani serta golongan belia sebagai peneraju pembangunan sektor pertanian.

“Sejak penubuhan Pusat Penyelidikan Pertanian (ARC) Tuaran 70 tahun lalu pelbagai penyelidikan dan inovasi telah dihasilkan serta dilancarkan seperti varieti tanaman makanan berpotensi tinggi dan pakej-pakej teknologi pertanian yang memberi manfaat kepada masyarakat tani.

“Oleh itu saya menyokong penuh penubuhan Sabah Agricultural Biotechnology Centre di ARC Tuaran dengan peruntukan kerajaan negeri di mana pembinaan dijadualkan bermula pada tahun 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2029,” katanya.