amree16/10/2026 - 10:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt — Peruntukan pembangunan Persekutuan sebanyak RM18.7 bilion untuk Sabah menerusi Belanjawan 2027 perlu diterjemahkan kepada banyak peluang pekerjaan berkualiti bagi memastikan lebih ramai graduan tempatan dapat membina kerjaya di negeri sendiri.
Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Jakaria Dasan berkata, cabaran utama yang dihadapi graduan negeri itu bukan kekurangan minat untuk berkhidmat di tanah kelahiran, sebaliknya keterbatasan peluang kerjaya berkemahiran tinggi yang sepadan dengan kelayakan akademik mereka.
Menurut beliau, penghijrahan tenaga kerja berpendidikan dari Sabah ke luar negeri itu masih lagi berterusan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana peruntukan pembangunan mampu meningkatkan penyerapan tenaga kerja tempatan.
"Keadaan itu turut memberi kesan kepada keluarga apabila anak-anak muda terpaksa bekerja jauh dari kampung halaman demi mendapatkan pendapatan yang stabil, manakala kos penerbangan untuk pulang ke Sabah menjadi beban kewangan, khususnya ketika musim perayaan," jelasnya.
Menerusi kenyataan, Jakaria berkata, isu tambang mahal bagi penerbangan yang berulang kali timbul setiap tahun dan keperluan subsidi tinggi menunjukkan pentingnya menangani punca penghijrahan, termasuk kekurangan peluang kerjaya di negeri itu.
Beliau namun menyambut baik inti pati Belanjawan 2027 turut merangkumi beberapa inisiatif, antaranya penetapan gaji permulaan graduan sebanyak RM2,500, penyerahan kuasa kawal selia urusan tenaga serta keutamaan perolehan kepada kontraktor tempatan.

Bagaimanapun ujarnya, inisiatif berkenaan perlu disokong oleh pembangunan ekosistem industri dan ekonomi setempat secara mampan supaya manfaatnya kelak dapat diterjemahkan kepada lebih banyak peluang pekerjaan baharu di seluruh Sabah.
"Antara keutamaan yang wajar diketengahkan ialah menarik pelaburan strategik sehingga mampu mewujudkan pejabat, kilang dan hab teknologi di negeri itu, sekali gus membuka ruang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan sendiri," kata Jakaria.
Tambah beliau, kejayaan Belanjawan Negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira hasil terhadap peluang pekerjaan dan keupayaan graduan mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka.
Selaras dengan hasrat Belanjawan MADANI bertemakan 'Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi', beliau berharap pembangunan yang dirancang dapat memberi impak langsung kepada masyarakat serta membolehkan anak tempatan membina kerjaya dan keluarga di negeri sendiri.
Jakaria turut berharap menjelang pembentangan Belanjawan 2028, statistik rasmi dapat menunjukkan bahawa peluang pekerjaan baharu di Sabah berjaya menyerap lebih ramai tenaga kerja tempatan, termasuk graduan berijazah, untuk berkhidmat di tanah kelahiran mereka. - DagangNews.com






