
PETALING JAYA – Pembiayaan berjumlah RM40 juta yang disediakan oleh Agrobank dalam pembentangan Belanjawan 2027, untuk projek akuakultur dan dana pembiayaan melebihi RM1 bilion yang disediakan serta beberapa institusi kewangan lain, akan membuka lebih banyak peluang kepada pengusaha untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mengadaptasi teknologi pertanian.
Kemudahan pembiayaan perumahan yang akan disediakan oleh Agrobank kepada pekerja gig juga dijangka dapat membantu golongan berkenaan memiliki rumah pertama.
Langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memperluas akses kepada pembiayaan perumahan yang lebih inklusif, khususnya kepada golongan yang berpendapatan tidak tetap.
Kerajaan turut menyediakan geran padanan sehingga RM5,000 kepada usahawan PMKS untuk mendapatkan pensijilan halal buat kali pertama dan sehingga RM25,000 bagi memperkasa PMKS halal dalam sektor berpotensi, termasuk kosmetik dan farmaseutikal.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata, pihaknya melihat langkah ini sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri halal negara.
Menerusi inisiatif Halal@Agrobank yang dilancarkan pada tahun ini, pihaknya bersedia menyokong lebih ramai usahawan untuk meningkatkan skala perniagaan, memperoleh pensijilan halal dan mengembangkan pasaran mereka.
“Bagi Agrobank, keutamaan kami bukan sekadar menyediakan pembiayaan, tetapi memastikan sokongan ini benar-benar membantu pengusaha mengatasi cabaran yang dihadapi, meningkatkan produktiviti dan
membina perniagaan yang lebih kukuh.
“Dalam sektor akuakultur misalnya, pembiayaan yang bersesuaian dapat membantu pengusaha meningkatkan kapasiti ternakan, menggunakan teknologi yang lebih cekap dan memperkukuh bekalan makanan tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, dalam sektor sawit, pembiayaan hibrid berjumlah RM100 juta akan disediakan bagi membantu 4,500 pekebun kecil melaksanakan penanaman semula kelapa sawit, dengan hanya separuh daripada jumlah pembiayaan perlu dibayar balik.
Inisiatif ini dijangka dapat meringankan beban kewangan pekebun kecil, meningkatkan produktiviti kebun dan menyokong kemampanan sektor sawit negara.
Usaha tersebut melengkapi kerjasama Agrobank dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam meningkatkan kecekapan permohonan, pemantauan dan tindakan susulan pembiayaan menerusi sistem Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 yang dilancarkan di MAHA 2026 baru-baru ini.
Kerajaan juga meningkatkan peruntukan pembiayaan mikro kepada RM6.6 bilion bagi membantu pengusaha kecil mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan.
“Kami menyokong peningkatan ini yang selaras dengan usaha Bank memperluas akses kepada pembiayaan mikro, khususnya kepada usahawan tani dan peniaga kecil,” ujarnya.
Ahmad Badli Shah memaklumkan, sehingga September 2026, sebanyak RM2.08 bilion telah diluluskan kepada 7,236 pengusaha merangkumi sektor pertanian, agromakanan, penternakan, perkhidmatan dan perikanan.
Melangkah ke 2027, Agrobank akan terus memberi tumpuan kepada pembiayaan yang menyokong peningkatan pengeluaran makanan, penggunaan teknologi, pembangunan agropreneur dan pengukuhan rantaian nilai agromakanan.
“Sebagai Institusi Kewangan Pembangunan, ukuran kejayaan kami bukan hanya pada jumlah pembiayaan yang disalurkan, tetapi perubahan yang dapat dihasilkan.”
“Setiap ringgit yang diamanahkan perlu memberi manfaat yang nyata kepada pengusaha, memperkukuh industri agromakanan dan menyumbang kepada keterjaminan makanan negara,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Agrobank luluskan dana RM2.08 bilion kepada 7,236 pengusaha pelbagai sektor appeared first on Kosmo Online.






