Sabah perlukan lebih 1,500 kuarters tambahan untuk petugas kesihatan

LocalHealth & Fitness
20 Sep 2026 • 9:49 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Sabah perlukan lebih 1,500 kuarters tambahan untuk petugas kesihatan

KUNDASANG: Sabah memerlukan lebih 1,500 kuarters tambahan untuk petugas kesihatan di seluruh negeri kata Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki.

Menurutnya ia berikutan kekurangan kemudahan penginapan merupakan antara isu kebajikan yang dihadapi anggota bertugas di kawasan luar bandar.

“Kemudahan kuarters perlu diberi perhatian serius khususnya bagi petugas yang ditempatkan jauh dari kampung halaman termasuk dari bahagian lain di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Saya mengalu-alukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi pertimbangan khusus terhadap program penyediaan kuarters untuk petugas kesihatan kerana ia secara langsung memenuhi keperluan mereka,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Kundasang pada Jumaat.

Dalam pada itu Julita menyatakan Klinik Kesihatan Kundasang antara fasiliti yang memerlukan perhatian dari segi penginapan kakitangan selain menyatakan sokongan terhadap pembangunan kuarters di klinik berkenaan.

Beliau memberi contoh kuarters kakitangan Klinik Kesihatan Timbua yang dilawatinya sebelum ini telah siap dan mula digunakan.

Sementara itu Pakar Perubatan Keluarga Dr Jamalia Kamarudin berkata penginapan merupakan kebimbangan nyata bagi kakitangan di Klinik Kesihatan Kundasang dengan sebahagian daripada mereka menyewa bilik kecil di kawasan berkenaan.

“Keadaan tempat tinggal mereka tidak kondusif malahan ada yang menyewa bilik kecil di Kundasang. Ia lebih sukar bagi mereka yang mempunyai anak,” katanya.

Selain penginapan, Dr Jamalia berkata beban kerja yang semakin meningkat turut memberi tekanan terhadap infrastruktur klinik yang terhad.

“Beban kerja semakin meningkat tetapi ruang kerja kami terhad.

“Kami tidak mempunyai ruang khusus yang sesuai untuk perkhidmatan seperti rawatan luka,” jelasnya.

Beliau berkata klinik terbabit juga tidak mempunyai ruang penyimpanan khusus untuk peralatan perubatan manakala sebahagian kakitangan terpaksa berkongsi ruang kerja yang sempit dengan dua, tiga atau empat rakan sekerja terutama di unit kesihatan ibu dan kanak-kanak.

Klinik berkenaan turut memerlukan aset perubatan tambahan termasuk peti sejuk makmal dan peralatan pemantauan untuk bilik rawatan. Senarai peralatan yang diperlukan itu diserahkan kepada delegasi Julita ketika lawatan berkenaan.

Julita berkata pertambahan tenaga kerja merupakan satu lagi keperluan utama dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan khususnya di luar pusat bandar namun menegaskan kebajikan kakitangan juga perlu diberi perhatian seiring dengan pengambilan tenaga kerja.

Beliau berkata sebahagian kekurangan yang dihadapi klinik tidak dapat diselesaikan serta-merta manakala perkara lain boleh ditangani melalui kerjasama lebih erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Walaupun berdepan kekangan, Julita berkata beliau kagum dengan pengurusan Klinik Kesihatan Kundasang.

Julita menyifatkan pengurusan ruang, aset, dokumen dan pentadbiran klinik itu sebagai sangat baik berdasarkan kekangan yang dihadapi kakitangannya.

Beliau berpendapat penyelarasan lebih erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) penting bagi menangani keutamaan perkhidmatan kesihatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved