
Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah pada Jumaat mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk meningkatkan projek penyelidikannya.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata melalui projek penyelidikan, ia akan membuka peluang baharu untuk pembelajaran serta pembangunan dan beliau berharap dapat melihat UMS menjalankan lebih banyak kajian dan penyelidikan.
Hajiji yang juga Pro-Canselor UMS dimaklumkan mengenai pelbagai program termasuk projek penyelidikan yang sedang dijalankan universiti itu ketika bertemu dengan Naib Canselor UMS yang baharu Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur beberapa hari lepas.
“Saya harap ini (peruntukan RM2 juta dari kerajaan negeri kepada dana penyelidikan UMS) akan merancakkan agenda penyelidikan universiti,” katanya ketika berucap pada majlis ikrar Aku Janji sempena minggu orientasi pelajar baharu UMS bagi kemasukan 2022/2023 di sini, pada Jumaat.
Turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Seramai 4,576 pelajar telah dipilih untuk sesi kemasukan itu dengan 60.6 peratus atau 2,770 daripadanya adalah dari Sabah dan selebihnya termasuk 1,144 dari negeri lain, 582 dari Sarawak dan 23 pelajar antarabangsa.
Hajiji menasihatkan pelajar baharu yang berbeza latar belakang agama dan kaum agar menjadikan UMS sebagai wadah untuk terus mengekalkan dan mengeratkan perpaduan yang terjalin antara mereka.
“Melalui persefahaman sebegini, akan wujud keharmonian dan perpaduan kaum dan agama. Kita hendaklah sentiasa bersatu padu demi memelihara keamanan dan kemakmuran,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata sebagai pelapis pemimpin seterusnya, generasi muda bertanggungjawab melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan akhlak yang tinggi dengan adab yang sempurna melalui pendidikan.
“Golongan muda mesti diberi peluang untuk menggubal dasar pembangunan negara. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, belia tampil untuk terlibat dalam beberapa pilihan raya negeri di Malaysia, yang menunjukkan kesediaan mereka untuk menyumbang dari segi idea dan tenaga dalam membangunkan negara,” tambahnya.
Sementara itu, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor menerusi kenyataan pada Jumaat berkata sumbangan tersebut amat bermakna dalam meningkatkan lagi hasil penyelidikan berimpak tinggi terutama dalam usaha menangani dan mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu tempatan yang dihadapi rakyat.
“Semasa rombongan UMS membuat kunjungan hormat ke atas Yang Amat Berhormat (Hajiji) pada Rabu lalu, saya ada menyatakan bahawa UMS akan terus memperhebatkan aktiviti penyelidikan, antaranya membuat kajian bagi memacu sektor pertanian, perindustrian, dan pelancongan.
“Selain melahirkan modal insan yang berdaya saing demi kesejahteraan rakyat. Saya tidak menyangka dan berasa terharu apabila Ketua Menteri mengumumkan sumbangan dana dalam jumlah yang cukup besar sebagai sokongan terhadap usaha ini,” katanya.
Bagi pihak UMS, beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas keprihatinan kerajaan Negeri, khususnya kepada Hajiji dan katanya UMS sentiasa bersedia memberi khidmat kepakaran dan pandangan untuk bersama-sama menjayakan pelan pembangunan Sabah.
Katanya sebagai Naib Canselor, beliau akan memastikan hubungan baik yang terjalin antara UMS dan kerajaan negeri akan terus mekar merangkumi pelbagai aspek bidang kerjasama ke arah Sabah yang lebih maju, aman dan sejahtera.
Kasim, 61, merupakan anak jati Sabah dilantik sebagai Naib Canselor UMS yang ketujuh berkuat kuasa 3 Oktober lepas.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

