Sabah Rancang Bina Rumah Mampu Milik Untuk B40, Harga Serendah RM47K

15 Apr 2025 • 12:22 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Sabah rancang bina 225 unit rumah kos rendah di 5 kawasan terpilih

Sabah Rancang Bina Rumah Mampu Milik Untuk B40, Harga Serendah RM47K. Kerajaan Negeri Sabah bakal melaksanakan projek perumahan kos rendah yang memberi kelegaan kepada golongan berpendapatan rendah (B40), dengan penawaran harga rumah mampu milik serendah RM47,000 seunit.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, memaklumkan bahawa menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan negeri melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) akan membina 225 unit rumah kos rendah di lima lokasi berikut:

image is not available
Sabah Rancang Bina Rumah Mampu Milik Untuk B40, Harga Serendah RM47K. Gambar hiasan.

  • Kemabong – 50 unit
  • Sukau – 50 unit
  • Pitas – 50 unit
  • Melalap – 50 unit
  • Beluran – 25 unit

Kesemua unit ini akan dibina dengan pembiayaan penuh oleh Kerajaan Negeri Sabah dan akan ditawarkan khas kepada golongan B40, menurut laporan media tempatan.

Harga Berpatutan: RM47,000 Seunit

Berbanding harga pasaran semasa yang jauh lebih tinggi, penawaran rumah kos rendah pada harga RM47,000 seunit merupakan langkah signifikan dalam memastikan lebih ramai rakyat Sabah mampu memiliki rumah sendiri.

“Kerajaan negeri komited untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat, terutamanya dalam membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman yang selesa dan selamat,” jelas Joachim.

Perancangan Tambahan Dalam RMK-13

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat rancangan lanjutan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi pembinaan lebih banyak rumah kos rendah untuk golongan B40.

“Cadangan pembinaan baharu ini juga akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri, dan kini berada dalam peringkat semakan serta kelulusan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah,” katanya semasa sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Isnin, menjawab pertanyaan Datuk Suhaimi Nasir mengenai pelan perumahan mampu milik di Sabah.

Langkah ini bukan sahaja membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat, malah memberi peluang kepada lebih ramai golongan B40 di Sabah untuk memiliki rumah sendiri pada harga yang sangat berpatutan.

Inisiatif seperti ini wajar diteruskan demi menjamin hak perumahan rakyat dan mengurangkan beban kos sara hidup – satu langkah progresif ke arah pembangunan mampan negeri.

Baca juga artikel yang berkaitan rumah mampu milik di Sarawak: