amree29/10/2026 - 16:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt — Kerajaan Sabah meletakkan sasaran tinggi untuk mencapai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM100 bilion menjelang tahun 2030 di bawah hala tuju pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan tumpuan utama bakal diberikan kepada usaha pembangunan industri, penarikan pelaburan berimpak tinggi, serta penyediaan infrastruktur tenaga yang stabil dan berpatutan.
Isu kecukupan serta kebolehpercayaan bekalan tenaga dan gas diangkat menjadi keutamaan kritikal memandangkan ia merupakan faktor penentu utama bagi pelabur luar yang mahu membuka kilang atau operasi berskala besar di negeri itu.
"Sabah berjaya membuktikan pertumbuhan KDNK mampu mencecah sebanyak RM88.8 bilion pada tahun lalu, melonjak kira-kira RM4.3 bilion berbanding hanya RM84.5 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya," kata beliau.
Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Ceasar Mandela Malakun bersempena dengan pembukaan Persidangan Perancangan Tahunan Sabah Energy Corporation (SEC) di Kota Kinabalu pada Khamis.
Sementara itu, mengulas pelan bekalan dan penghantaran gas jangka panjang, kapasiti bekalan gas di Sabah berpotensi meningkat daripada 700 juta kaki padu standard sehari kepada 1,350 juta kaki padu standard sehari menjelang 2030.

Ujar beliau, cadangan pembangunan sumber gas di kawasan pantai timur Sabah dijangka membuka banyak peluang baharu bagi penjanaan tenaga elektrik serta merancakkan lagi pertumbuhan sektor perkilangan serantau.
Pada masa sama Hajiji turut menyorot kemajuan penyertaan Sabah dalam sektor tenaga menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial yang dimeterai bersama PETRONAS sejak Disember 2021.
Beliau memuji prestasi kewangan cemerlang SEC serta usaha syarikat tersebut dalam memperluaskan operasi menerusi Agenda Transformasi Tenaga Progresif.
Ketua Menteri turut menggesa semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi negeri meningkatkan kerjasama strategik bagi mempercepatkan pelaksanaan projek sekali gus mengelakkan ketirisan peluang pelaburan.
Perkembangan ini jelas Hajiji, dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Sabah sebagai hab tenaga utama yang berdaya saing di rantau Borneo. - DagangNews.com






