Malaysia terajui usaha seragam perlindungan marin

LocalEnvironment
27 Oct 2026 • 10:55 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Malaysia terajui usaha seragam perlindungan marin

USAHA melindungi ekosistem marin dan memelihara biodiversiti laut di rantau Segi Tiga Terumbu Karang terus diperkukuh menerusi pelbagai kerjasama dari dalam dan luar negara.

Hal itu turut berlaku menerusi kerjasama enam negara yang berhimpun di Sabah bagi menyelaraskan piawaian pengurusan kawasan perlindungan marin menjelang 2030.

Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang mengenai Terumbu Karang, Perikanan dan Keselamatan Makanan (CTI-CFF) menganjurkan program serantau peringkat tinggi baru-baru ini melibatkan Malaysia, Indonesia, Papua New Guinea, Filipina, Kepulauan Solomon dan Timor-Leste.

Pertemuan itu bertujuan mempercepat pelaksanaan dasar pemuliharaan marin kepada tindakan yang boleh diukur dan disahkan berdasarkan Pelan Tindakan Serantau (RPOA 2.0).

Menurut Pengarah Eksekutif Sekretariat Serantau CTI-CFF, Dr. Frank Griffin, usaha itu penting bagi memastikan sasaran pemuliharaan disokong data yang kukuh serta tadbir urus berkesan.

“Penyelarasan sistem serantau dengan piawaian Senarai Hijau Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) dapat membantu negara anggota mencapai sasaran global 30×30 menerusi pengukuran daya tahan terumbu karang.

“Sasaran 30×30 merupakan sebahagian daripada Matlamat 3 Kerangka Biodiversiti Global Kunming-Montreal yang menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan daratan, perairan pedalaman serta kawasan pesisir dan marin dunia dilindungi dan diurus secara berkesan menjelang 2030,” katanya pada persidangan itu.

Program tersebut dibahagikan kepada dua fasa utama, iaitu Pertukaran Serantau Teknikal Kawasan Perlindungan Marin (MPA TREX) dan Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal MPA.

Fasa pertama memberi tumpuan kepada penyelarasan piawaian pengurusan kawasan perlindungan marin, manakala fasa kedua meneliti hasil teknikal untuk diterjemahkan kepada cadangan dasar rasmi.

Image from: Malaysia terajui usaha seragam perlindungan marin
SEGI Tiga Terumbu Karang kawasan kaya spesies karang dunia meliputi enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Papua New Guinea, Filipina, Kepulauan Solomon dan Timor-Leste.

Dalam program itu, peserta turut memberi tumpuan kepada penyelarasan data dalam Atlas Segi Tiga Terumbu Karang (CT Atlas) serta penerapan kriteria Senarai Hijau IUCN di 12 tapak keutamaan merentasi enam negara anggota.

Lawatan pengesahan lapangan di taman marin Sabah membolehkan peserta meneliti pelaksanaan kaedah pengurusan dan strategi pengurusan sisa di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr. Maklarin Lakim, berkata pertukaran kepakaran itu membuka ruang kepada pengurus kawasan perlindungan marin berkongsi amalan terbaik secara langsung.

“Saya berharap tapak pembelajaran di Sabah dapat berfungsi sebagai makmal ekologi yang memberikan manfaat kepada seluruh rantau Segi Tiga Terumbu Karang.

“Hasil perbincangan teknikal kemudian dibawa kepada Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal MPA bagi membentuk cadangan dasar untuk Mesyuarat Pegawai Kanan ke-21 (SOM-21).

“Malaysia, selaku Pengerusi MPA bagi tempoh 2026 hingga 2027 memainkan peranan penting dalam menyelaras usaha berkenaan,” ujarnya.

Katanya lagi, Segi Tiga Terumbu Karang meliputi enam negara itu yang sering digelar ‘Amazon Laut’ menempatkan kira-kira 76 peratus spesies karang dunia dan 37 peratus spesies ikan terumbu.

Ekosistem ini turut menyokong kehidupan serta keselamatan makanan lebih 130 juta penduduk.

Justeru, penyelarasan piawaian, pengesahan data saintifik dan kerjasama antara negara bukan sekadar memenuhi sasaran antarabangsa, malah penting bagi memastikan sumber marin terus terpelihara.

Melalui usaha bersama menjelang 2030, rantau ini berhasrat membina ekosistem laut yang lebih berdaya tahan demi kelangsungan biodiversiti dan kesejahteraan generasi akan datang.

The post Malaysia terajui usaha seragam perlindungan marin appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved